Selangor 2022 kembalikan orang

Tiga sebab Selangor mampu optimis menjelang baki peringkat kumpulan

Dilihat dari persembahan anak-anak buah Karsten Neitzel musim ini, boleh kata jarang penyokong dapat meletakkan harapan tinggi kepada mereka menjelang mana-mana perlawanan. Namun menerusi perkembangan terbaru pasukan semasa tempoh rehat Piala Malaysia selama hampir sebulan, mungkin Selangor FC mampu optimis menjelang baki saingan peringkat kumpulan yang akan bersambung hujung minggu ini.

Kredit foto Selangor FC

Pada Sabtu ini, 30 Oktober, mereka dijadualkan menghadapi Kuching City di laman sendiri dalam Kumpulan B, sebelum menghadapi tiga lagi perlawanan peringkat kumpulan, dengan kesemua empat perlawanan berlangsung dalam tempoh tidak sampai dua minggu.

Yang baiknya, tempoh rehat yang dilalui semua pasukan Piala Malaysia ini, disebabkan jendela perlawanan antarabangsa, membolehkan pemain-pemain yang dahulunya tercedera kembali pulih, dan juga membolehkan perlawanan-perlawanan persahabatan diatur sebagai persediaan.

“Aksi-aksi persahabatan ini penting kerana kami ada empat perlawanan [Piala Malaysia] yang sukar selepas ini. Pasukan saya juga perlu mengekalkan kecergasan mereka, terutamanya mereka yang baru baik dari kecederaan.

“Ramai yang sudah pulih ini perlukan minit permainan pula, manakala saya mahu mereka lakukan apa yang mereka buat dalam aksi persahabatan, pada minggu depan [dalam baki saingan peringkat kumpulan],” jelas Karsten kepada penulis Sabtu lalu.

Namun apa yang paling memberangsangkan dan membuat Selangor FC mampu optimis adalah kepulangan penyokong-penyokong mereka, setelah kelab-kelab Malaysia dibenarkan membawa peminat masuk semula ke stadium bermula hujung minggu ini, oleh kerajaan Malaysia dan Malaysian Football League (MFL). Ini disebabkan penurunan dalam jumlah kes Covid-19 terbaru di seluruh negara.

Dari segi ini, pengendali dari Jerman ini meminta penyokong Gergasi Merah untuk turut berkongsi harapan yang dirasai pasukan, terutamanya dalam situasi-situasi sukar.

“Pada awal musim kita ada di antara 2,500 dan 3,000 penyokong di stadium dan atmosferanya memang berbeza, ia membantu kami bermain 10 peratus lebih baik.

“Tidak sukar untuk penyokong secara umumnya untuk menyokong pasukan apabila mereka sedang mendahului perlawanan 2-0, 3-0. Tapi kami lebih memerlukan penyokong apabila pasukan melalui tempoh yang sukar. Kami perlukan mereka dalam setiap perlawanan, apatah lagi apabila situasi semasa tidak 100 peratus baik untuk kami. Inilah peranan yang boleh mereka mainkan,” rayu Karsten.

Namun harapan tinggi saja tidak cukup untuk membawa keyakinan. Jadi, penyokong Selangor mungkin gembira mengetahui yang walaupun pasukan pada mulanya tewas mengejut 3-1 dalam aksi persahabatan dengan PDRM FC pada 13 Oktober lalu, mereka bangkit untuk menundukkan teman serumah, Petaling Jaya City 1-0 tiga hari kemudiannya. Dan dalam perlawanan pemanas badan terakhir pada Sabtu lalu, mereka menewaskan naib juara Liga Premier dan pendahulu Kumpulan A, Sarawak United dengan jaringan 2-0.

Dapatkan tiket perlawanan Selangor menentang Kuching di sini.

Perakuan: Artikel ini diolah semula dari penulisan pengarang sendiri, yang pertama kali diterbitkan di laman sesawang Selangor FC. Penulis juga telah diberi tanggungjawab oleh kelab untuk menulis beberapa artikel bagi pihak mereka bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.