LTK berpesan pada Mukhairi

Kalau pasukan lain boleh buat, apa salahnya Selangor simpan pemain?

Nampaknya topik hangat mengenai Gergasi Merah pada minggu ini adalah sama ada dua pemain muda mereka, Mukhairi Ajmal dan Harith Haiqal akan dilepaskan untuk menyertai pasukan Malaysia B-23 dalam pusingan kelayakan Piala Asia AFC B-23 2022 pada penghujung bulan ini. Pada pendapat kami di Merah Kuning 24/7, ada baiknya Selangor FC simpan pemain-pemain ini saja bagi baki kempen Piala Malaysia nanti.

Kredit foto Selangor FC

Ramai telah mengetahui yang Mukhairi, pemain tengah, telah beraksi dalam 22 perlawanan kompetitif musim ini dengan Merah Kuning dengan kutipan satu gol, dan baru-baru ini berjaya menarik perhatian peminat menerusi dua penampilan pertamanya dengan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan. Harith pula sama berusia 19 tahun dan pernah beraksi dengan pasukan muda kebangsaan, dan telah melakukan empat penampilan musim ini dengan Selangor.

Kini mereka dikehendaki jurulatih Harimau Muda, Brad Maloney yang mahu mereka ikut sama ke peringkat kelayakan Kumpulan J di Mongolia nanti, dari 25 hingga 31 Oktober (tidak termasuk kuarantin wajib 14 hari Covid-19 selepas kembali ke Malaysia). Pada masa yang sama, kelab masih memerlukan khidmat mereka sedang kempen Piala Malaysia Selangor dijadualkan bersambung pada 30 Oktober. Dilaporkan yang saingan kelayakan tadi tidak berada dalam jendela antarabangsa FIFA, jadi kelab-kelab tidak wajib melepaskan pemain mereka bagi menyertai pasukan muda kebangsaan, namun Brad masih berusaha memujuk pihak pengurusan Selangor.

Situasi pasukan Harimau Muda memang difahami, namun ada baiknya kelab bertegas dalam perebutan ini.

Sebab paling mudah adalah kerana krisis kecederaan yang sedang meruncing. Nampak gayanya skuad Selangor terlalu mudah tercedera musim ini, dan sudah pasti keputusan melepaskan Mukhairi dan Harith akan lebih menyukarkan kerja jurulatih dalam Piala Malaysia nanti. Ya, kelab memiliki banyak pemain-pemain muda dalam pasukan simpanan yang boleh diberi peluang, tapi ramai dari mereka telah pun dilepaskan tanpa masalah untuk menyertai pasukan Brad, seperti Azrin Afiq dan Zikri Khalili. Jika Mukhairi dan Harith dilepaskan, ia hanya merugikan pasukan dan ibarat mensabotaj jurulatih, Karsten Neitzel, apatah lagi pengendali dari Jerman itu kelihatan memerlukan semua bantuan yang dapat diperolehinya sepanjang musim ini.

Ini bukan isu keras kepala atau ego semata-mata, jika Selangor FC berkeras, ia adalah kerana mereka tak mahu menyusahkan diri sendiri.

Dan jika betul undang-undang FIFA tidak mewajibkan kelab-kelab melepaskan pemain mereka bagi saingan kelayakan ini, itu saja perkara yang perlu dipertimbangkan kelab. Tak perlu panjang cerita lagi.

Di samping itu, saingan akhir Piala Asia AFC B-23 akan datang bukan merupakan edisi yang membawa kelayakan ke Sukan Olimpik (edisi 2024 baru disertakan kelayakan ini), jadi ada baiknya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membiarkan kelab-kelab menumpukan usaha mereka dalam kempen Piala Malaysia tahun ini, yang juga merupakan edisi keseratus tahun pertandingan ini.

Akhir sekali, perlu disentuh mengenai isu keadilan dari segi senarai panggilan itu sendiri. Jika ada pasukan yang dikatakan berkuasa mengelakkan pemain mereka dari dipanggil pasukan-pasukan Malaysia, apa salahnya Selangor FC simpan pemain seorang dua, secara masih ikut peraturan dan sambil melepaskan ramai pemain-pemain mereka yang lain?

Ya betul, tindakan berkeras seperti ini hanya merugikan pasukan kebangsaan. Tapi jika nak rugi, rugilah sama-sama. Jika nak dapat kelebihan, berikanlah kelebihan itu secara sama rata. Ikutlah, Kedah DA pun simpan pemain, Terengganu FC pun enggan lepaskan bintang mereka, Johor DT pun tak mahu hantar pemain, UiTM FC pula suruh pemain mereka hadir kelas Biro Tatanegara.

Namun mungkin masih ada jalan penyelesaian dalam isu ini, jika syarat kuarantin 14 hari selepas pulang itu tidak diperlukan, dalam situasi Covid-19 yang sedang bertambah baik. Sebagai contoh, baru-baru ini dokumen My Travel Pass yang sebelum ini diperlukan semua warga Malaysia yang ingin ke luar negara dalam tempoh penularan Covid-19, telah dimansuhkan oleh kerajaan Malaysia. Dalam situasi ini, kerajaan Malaysia adalah pihak yang patut FAM pujuk, bukannya Selangor FC. Jika kebenaran diperolehi untuk tidak melalui kuarantin, Mukhairi dan Ajmal berkemungkinan besar dapat beraksi dalam tiga perlawanan terakhir peringkat kumpulan Selangor nanti.

Akhir kata, semua ini tiada gunanya kalau Gergasi Merah masih berprestasi yo-yo sekembalinya aksi Piala Malaysia nanti, kali ini dengan disaksikan penyokong. Dengar khabarnya perlawanan persahabatan dengan sebuah pasukan divisyen dua beberapa hari lalu diakhiri dengan kekalahan, biarpun menurunkan pemain-pemain utama. Kalau macam inilah gaya Selangor nak bermain nanti, baik dilepaskan saja Mukhairi dan Harith ke pangkuan Brad, bersama-sama keseluruhan skuad Selangor.

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC dan bolasepak Selangor

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.