Penyerang Brazil akan didatangkan

Selangor FC Soccer School masih berjalan di sebalik kekangan 2021

Dilancarkan pada bulan September 2019, Selangor FC Soccer School disasarkan untuk menarik penglibatan anak-anak di negeri Selangor dalam sukan bolasepak seramai yang boleh, tanpa mengira bakat dan potensi, melalui sekolah mereka. Program ini dirancang untuk memberikan latihan asas-asas bolasepak secara tersusun dan konsisten dari usia awal lagi, supaya lebih ramai bakat muda dapat dicungkil dengan sasaran supaya ada daripada mereka dapat beraksi di peringkat profesional di masa depan.

Kredit foto Selangor FC

Namun manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan seterusnya. Hanya beberapa bulan selepas itu, wabak Covid-19 melanda seluruh dunia, dan Malaysia dan sukan bolasepak di negara ini turut terkesan. Akibatnya bagi kelab, beberapa perancangan terkandas, dan salah satunya adalah projek Soccer School ini.

Latihan-latihan di sekolah tidak dapat dijalankan pada musim 2020 kerana penutupan sekolah di seluruh negara, manakala aktiviti sukan dan rekreasi juga terhalang oleh langkah-langkah pencegahan wabak ini.

Namun pelantikan Kanason Rajagobal sebagai ketua program ini pada Ogos tahun lepas memastikan ada aktiviti yang masih dapat dijalankan pada tahun 2021.

Dalam sebuah temubual dengan penulis bagi laman sesawang kelab, Kanason sedikit sebanyak menjelaskan kegiatan-kegiatan Selangor FC Soccer School sepanjang tahun ini.

Antara program yang dilangsungkan adalah klinik bolasepak kanak-kanak di Pusat Latihan FAS, melibatkan pelajar-pelajar dari dua buah sekolah dan sebuah akademi, dan juga sesi perkongsian dalam talian melibatkan dua orang bintang Gergasi Merah, Danial Asri dan Tim Heubach.

Kanason juga telah menganjurkan sesi bersemuka, juga secara dalam talian, dengan lebih kurang 30 orang jurulatih dalam program ini. Mereka terdiri dari guru-guru sekolah yang diberi tanggungjawab memberi latihan bolasepak di sekolah tempat mereka berkhidmat.

“Sebagai sebahagian dari program ‘onboarding’, kami menjelaskan misi, visi dan objektif projek ini, dan Michael (pengarah sukan dan ketua jurulatih pasukan utama Michael Feichtenbeiner) bercakap mengenai bolasepak akar umbi,” jelasnya.

Tetapi program ini memerlukan sesi latihan bersemuka, dan Kanason ada perancangan bagi menjalankan program ini sekiranya sekolah masih tidak dibuka atau aktiviti sukan dan riadah di sekolah masih tidak boleh dijalankan.

“Kami merancang untuk menjalankan latihan di luar sekolah, di padang-padang awam majlis perbandaran, ketika sekolah masih belum dibuka. Latihan akan dijalankan sekali seminggu, sama seperti jika kami dapat melakukannya di sekolah-sekolah. Sesi-sesi latihan akan dilakukan di dua tempat, mungkin tiga, bergantung kepada permintaan.”

Namun bagi Selangor FC Soccer School, mereka kekal mahukan latihan dapat diberikan kepada anak-anak ini di sekolah mereka sendiri, dengan harapan sekolah dapat dibuka dan aktiviti sukan dapat dijalankan semula di sekolah-sekolah pada tahun depan.

“15 buah sekolah telah menyatakan minat menyertai program ini tahun depan, manakala kami mensasarkan 20 sekolah jika pandemik tidak kembali teruk.

“Kami sedang bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor untuk mendapatkan penyertaan lebih banyak sekolah.”

Namun keadaan semasa bakal memaksa yuran latihan dinaikkan, dari RM40 sebulan semasa ia dilancarkan dua tahun lalu.

“Kami belum mengumumkannya secara rasmi, tapi ia terpaksa dinaikkan kepada RM50 sebulan, manakala yuran pendaftaran adalah di antara RM80 ke RM85, kami akan muktamadkan jumlahnya nanti.

“Kenapa kenaikan ini dilakukan? Pertamanya adalah demi memastikan kelestarian program ini, dan yang penting adalah untuk memastikan kami dapat memberikan nisbah jurulatih kepada anak yang tepat. Kami tak mahu ada jurulatih yang terpaksa menguruskan terlalu ramai pemain sehingga menjejaskan kualiti latihan yang diberikan,” jelas Kanason.

Artikel ini diolah semula dari penulisan pengarang sendiri, yang pertama kali diterbitkan di laman sesawang Selangor FC. Perakuan: Penulis juga telah diberi tanggungjawab oleh kelab untuk menulis beberapa artikel bagi pihak mereka bagi tempoh beberapa minggu akan datang.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.