Selangor FC tunjuk keyakinan

Selangor tunjuk keyakinan benarkan penyokong hadiri perlawanan menentang Terengganu?

Gergasi Merah pada Rabu, 16 Februari telah mengiklankan aksi persahabatan pra-musim menentang Terengganu FC yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu akan datang ini di Stadium MBPJ. Yang menariknya, penganjuran perlawanan ini seolah-olah membayangkan Selangor FC tunjuk keyakinan menjelang musim 2022.

Kredit tangkap layar Selangor FC

Menurut pengumuman yang dilakukan, aksi ini akan turut dibuka kepada penyokong di tempat kejadian dan juga secara penstriman Facebook. Tiket kemasukan berharga RM20 tidak termasuk caj tambahan manakala penstriman dapat ditonton dengan harga RM12.90 dengan kod promosi.

Ini merupakan perlawanan pra-musim 2022 kedua Selangor yang turut dibuka kepada penyokong, selepas aksi menentang kelab Liga Premier Kelantan FC seminggu setengah lalu di Stadium UiTM, yang berakhir dengan kemenangan 3-1.

Sementara itu, mereka ada juga menjalani aksi persahabatan pra-musim tertutup, kalah kepada kelab divisyen dua PDRM FC 1-0, dan menang ke atas pasukan-pasukan Liga Super Negeri Sembilan 2-0 dan Petaling Jaya City 3-1.

Aksi menentang Sang Penyu hujung minggu ini agak menarik untuk disaksikan, dan bukan hanya disebabkan kualiti lawan yang akan dihadapi.

Pada musim lalu, Gergasi ‘dilaukkan’ Terengganu dalam kesemua dua perlawanan liga dan dua aksi peringkat kumpulan Piala Malaysia. Keputusan-keputusan ini dan juga kejayaan anak-anak buah Nafuzi Zain tiba di separuh akhir Piala Malaysia membuktikan keutuhan mereka, setidak-tidaknya apabila berhadapan dengan Selangor.

Sementara itu, Gergasi Merah di bawah pentadbiran semasa pada musim ini dan musim-musim sebelumnya lebih kerap melalui aksi persahabatan tanpa penyokong bagi menyembunyikan kekuatan.

Namun pasukan utama telah dapat menunjukkan bibit-bibit perubahan positif di bawah pimpinan pengarah sukan kelab, Michael Feichtenbeiner sebagai ketua jurulatih musim ini, dan ini mungkin sebabnya aksi persahabatan ini berani dibuka kepada penyokong-penyokong Gergasi Merah.

Adakah kini Selangor FC tunjuk keyakinan, dengan keputusan membenarkan penyokong menonton aksi persahabatan menentang pasukan sama yang telah membenam mereka empat kali musim lalu? Kita pastinya berharap yang responnya adalah positif, tapi ia hanya dapat dijawab secara mutlak melalui aksi dan keputusan pada hari Sabtu ini.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.