Selangor FC ketahui jadual

‘Real Madrid’ Malaysia kekal percaya kepada kebolehan untuk bangkit

Anak-anak buah Karsten Neitzel menghasilkan persembahan mengecewakan dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia mereka menentang Kuala Lumpur City (KLC) Ahad lalu, apabila tumbang 2-0 di laman sendiri. Pengendali KLC Bojan Hodak bangga dengan kejayaan pasukannya menyekat musuh perseteruan Lembah Klang mereka, apabila menyifatkan yang Selangor ibarat Real Madrid Malaysia.

Kredit foto Selangor FC

Aksi malam itu menunjukkan persembahan amat berbeza di antara kedua-dua pasukan. Apabila Gergasi Merah bermain seperti tiada idea dan ‘urgency’, dan kerap melakukan kesalahan dan membazirkan peluang, The City Boys beraksi secara berdisiplin, tersusun dan klinikal. Hasilnya, pasukan pelawat berjaya mengutip dua gol dan pasukan Karsten kini memiliki tugas sukar untuk bangkit dalam 90 minit kedua menentang lawan yang tidak pernah tumpas sepanjang kempen, di gelanggang di mana KLC langsung tidak pernah kalah sepanjang tahun ini.

Selepas perlawanan, Bojan menyifatkan kemenangan mereka sebagai kejayaan mengikuti perancangan untuk menumbangkan Selangor ibarat Real Madrid di negara ini.

“Selangor adalah Real Madrid di Malaysia… Majoriti 30 tahun lalu mereka sentiasa nombor satu dan kelab terbesar di negara ini. Bajet mereka adalah empat, lima kali lebih besar dari kami, mereka ada pemain-pemain bintang.

“Kalau awak beri Shahrel Fikri 1 meter dia berbahaya, mereka ada Oliver Buff yang merupakan pemain tengah terbaik di Malaysia jika dia cergas sepenuhnya. Kami berjaya sekat pemain-pemain seperti ini kerana kami tahu bagaimana mereka akan main dan mereka hanya dapat buat percubaan tepat pada minit ke-61. Kami buat kerja rumah kami dan ambil peluang sebaiknya,” jelas pengendali dari Croatia ini.

Karsten pula bercakap mengenai kepentingan untuk skuadnya kekal percaya.

“Terlebih dahulu, kami perlu pantau kecederaan dan pilih kesebelasan utama yang terbaik. Ia sukar tapi bukan mustahil, kami harus percaya. Saya akan beritahu pemain-pemain saya untuk kekal percaya, dan lakukan beberapa perubahan.”

Aksi suku akhir kedua akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis, 17 November.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.