Piala Malaysia

1953: Selangor punyalah langsi, sampai FA England campur tangan!

Ada kalanya penyokong Selangor, terutamanya dari generasi sekarang, tak tahu yang satu masa dulu, pasukan kesayangan mereka kadang-kadang agak ‘pailang’. Sebuah insiden dalam Piala Malaysia 1953 (masih Piala Malaya pada masa itu) memberi pengajaran yang sikap ego dan keras kepala itu selalunya akan memakan diri.

Sebuah insiden yang berlaku semasa ramai dari kita belum lahir lagi menarik untuk diceritakan semula, satu insiden yang menyebabkan skuad Merah Kuning dihukum dengan ‘walkover’, sebuah lagi pasukan berjaya mara memenangi Piala Malaya buat kali pertama dalam sejarah mereka, dan lebih dashyat lagi, campur tangan FA England dan bakal presiden FIFA!

Peristiwa ini berlaku pada tahun 1953, dalam pertandingan Piala Malaya (nama ini akan hanya ditukar ke Piala Malaysia pada tahun 1967). Perlu diingat, bolasepak negara pada masa itu amat berbeza sekali dengan apa yang dimainkan sekarang, dari segi struktur, format dan undang-undang.

Sebagai contoh, pada masa itu, pasukan Selangor dan juga negeri-negeri lain berfungsi tak tumpah seperti pasukan kebangsaan. Mereka akan memanggil pemain-pemain untuk mewakili negeri dalam Piala FAM dan Malaya, dan pemain-pemain ini lebih kerap bermain secara amatur untuk kelab-kelab yang bernaung di bawah persatuan bolasepak (FA) negeri itu dan bertanding dalam liga negeri. Liga kebangsaan seperti Liga Super dan juga konsep bermain secara professional akan hanya muncul di negara dalam tiga dekad selepas itu.

Malah, Malaysia masih lagi Malaya pada masa itu, dan pasukan Singapura masih menyertai pertandingan-pertandingan Malaya.

Dari segi format, Piala Malaya dahulu kala amat berbeza. Ia kerap bertukar, tetapi pada tahun 1953, kejohanan itu dimulai dengan tiga kumpulan. Selangor berada dalam zon utara bersama lima lagi pasukan, zon timur hanya ada tiga pasukan; Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala zon selatan disertai lima pasukan. Setiap pasukan hanya bertemu sekali dengan pasukan lain dalam zon mereka, dengan pemenang zon selatan mara terus ke perlawanan akhir, manakala juara zon utara dan timur perlu berentap dahulu dalam perlawanan penentuan untuk menentukan siapa yang layak mencabar juara zon selatan. Pelik, bukan?

Masalah timbul menjelang pertemuan peringkat kumpulan antara Selangor dan finalis tahun sebelumnya Pulau Pinang, yang pada mulanya dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 20 Jun di Kuala Lumpur. (Ibu kota negara ini masih di bawah pentadbiran negeri Selangor pada masa ini) Tarikh ini dilaporkan telah ditetapkan dalam bulan Mac tahun yang sama.

Tiga minggu sebelum tarikh 20 Jun, FA Selangor (FAS) dilaporkan meminta kepada Persatuan Bolasepak Malaya (FAM) supaya tarikh ini dianjak seminggu, ke 27 Jun, atas alasan bulan Ramadhan baru saja berakhir dan pemain-pemain mereka tidak cukup latihan. Presiden FAM, Tunku Abdul Rahman, yang juga merupakan bakal Perdana Menteri Malaya/Malaysia, turut meminta FA Pulau Pinang (FAP) bersetuju. Namun menurut peraturan pertandingan pada masa itu, perubahan tarikh hanya boleh dilakukan dengan persetujuan kedua-dua pasukan yang terlibat, dan FAP tidak memberikan balasan terhadap permintaan ini.

FAP hanya menghubungi FAS pada hari Khamis melalui sepucuk telegram: “Pasukan Pulau Pinang akan tiba [ke Kuala Lumpur] pagi Jumaat. Kemenangan percuma akan dituntut jika Selangor tak muncul. Keputusan ini muktamad.”

FAS yang diterajui presiden SCE Singam enggan berganjak dan apa yang berlaku seterusnya merupakan antara episod paling memeranjatkan dalam sejarah bolasepak negara.

Ketibaan lima pegawai dan 16 orang pemain Pulau Pinang dengan keretapi di Kuala Lumpur tidak disambut sesiapa, dan mereka langsung tidak dihubungi oleh mana-mana pegawai FAS secara rasmi, untuk diberi maklumat mengenai gelanggang perlawanan.

FAS kekal berdegil tidak mahu perlawanan itu berlangsung pada hari Sabtu, dan jam lima petang, waktu sepak mula dijadualkan, berlalu tanpa pengumuman lokasi padang perlawanan, apatah lagi kemunculan pasukan Merah Kuning. Diberitakan, pemain-pemain Pulau Pinang sebaliknya pergi ke padang depot polis untuk menonton perlawanan Perisai Hannigan di antara Polis Persekutuan dan Polis Singapura!

FAM tidak menunggu lama untuk menghukum FAS. Keesokan harinya, jawatankuasa tergempar FAM memutuskan yang Pulau Pinang diberi ‘walkover’ atau kemenangan percuma atas kegagalan pasukan Selangor untuk muncul pada hari perlawanan.

Singam membuat rayuan terhadap keputusan ini dengan bermacam-macam sebab, antaranya kelayakan jawatankuasa yang membuat keputusan dan juga ada pemain Selangor yang bermain untuk pasukan polis, tetapi rayuan itu ditolak FAM pada 13 Julai.

Masih tidak berputus asa, dia merayu semula kepada FAP untuk menunjukkan semangat kesukanan, memohon supaya perlawanan ini dijalankan pada satu tarikh baru dan menyatakan kesanggupan FAS untuk membiayai kos perjalanan pasukan ke Kuala Lumpur. Sudah pastinya cadangan itu ditolak mentah-mentah FAP, yang masih ‘bengkek’ dengan layanan dingin FAS pada 20 Jun.

Jika cerita ini tamat di sini, ia masih dapat menjadi satu kisah aneh dalam lipatan sejarah Piala Malaysia. Tetapi penamatnya bukan di sini.

Akhbar-akhbar negara gempar pada 22 Julai apabila Singam memberitahu bahawa dia telah menulis sepucuk surat kepada setiausaha FA England Stanley Rous, bertanyakan pendapatnya mengenai situasi ini, dan bakal presiden FIFA itu dilaporkan menyuarakan pendapat yang menyokong Selangor. Singam seterusnya mendesak FAM untuk mengarahkan supaya perlawanan itu dijalankan semula, atau dia akan membawa perkara itu kepada FA England.

Sir Stanley Rous. Foto dari insideworldfootball

Namun pada akhirnya, Singam didapati tidak menyatakan fakta-fakta sepenuhnya kepada Stanley, dan malu sendiri apabila Stanley mengutus sepucuk surat bertarikh 10 Ogos kepada FAM. Dalam kiriman ini, Stanley menjelaskan yang suratnya dahulu kepada Singam hanya menerangkan bahawa keputusan FAM harus diterima oleh kedua-dua pasukan, dan bertegas yang FA England sentiasa menyokong FAM. Selain itu, Stanley mengakui yang beliau terkeliru dengan surat dari Singam kerana Singam juga merupakan bendahari kehormat FAM pada masa itu.

Penyudahnya, Pulau Pinang diberi kemenangan ke atas Selangor, dan dua mata ini (ini bukan ‘typo’, cuba Google!) membolehkan mereka muncul juara zon utara. Mereka kemudiannya membenam Kelantan 5-0 dalam perlawanan dengan juara zon timur, sebelum mengatasi Singapura 3-2 di perlawanan akhir, untuk muncul juara Piala Malaya/Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah mereka. Pulau Pinang juga akan menjuarai edisi seterusnya pada tahun hadapan.

Apa yang berlaku juga akhirnya menamatkan karier Singam sebagai presiden FAS. Walaupun beliau hanya menjawat jawatan ini mulai dari tahun 1951, Singam telah berkhidmat sebagai setiausaha kehormat persatuan sejak 1933 lagi, sebelum Perang Dunia Kedua. Dalam pemilihan bagi tahun berikutnya, dia tewas dalam undi kepada K. Sundram.

Cerita ini ditulis hasil kajian yang dilakukan di arkib akhbar Perpustakaan Negara Singapura. Antara laporan-laporan akhbar mengenai insiden ini adalah 1, 2, 3, 4 dan 5.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.