Selangor lantik Dr Hazwan

Setelah dilantik Selangor, Dr. Hazwan ingin ketahui punca kecederaan kerap

Sedang Selangor FC rancak mengumumkan pemain-pemain baru bagi musim 2022, tidak dilupakan juga keperluan memperkukuhkan fungsi-fungsi balik tabir. Awal minggu ini, telah diumumkan Selangor lantik Dr Hazwan Khair sebagai ketua Jabatan Sains Sukan, secara sepenuh masa.

Kredit foto Selangor FC

Penulis telah diberi peluang untuk menemuramah Hazwan bagi pengumuman rasmi yang diterbitkan di laman sesawang kelab, di mana pakar perubatan ini menerangkan sedikit sebanyak mengenai pengalamannya dalam bidang perubatan sukan.

Setelah menamatkan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Perubatan Antarabangsa, dan kemudiannya melanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang Perubatan Sukan di Universiti Malaya, Hazwan berkhidmat sebagai doktor perubatan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia.

Namun atas faktor minat terhadap sukan dari bidang sekolah lagi, dia berkhidmat dalam sukan ragbi di Malaysia dengan pelbagai tanggungjawab, termasuklah sebagai doktor pasukan ragbi kebangsaan. Beliau juga adalah seorang pendidik perubatan yang disahkan oleh kesatuan ragbi dunia; World Rugby.

Setelah Selangor lantik Dr Hazwan mulai awal bulan Disember, ia merupakan pengalaman pertama beliau dalam sukan berstatus profesional di negara ini. Apabila ditanya, Dr. Hazwan menyatakan yang kerja pertama beliau adalah untuk mengetahui mengapa pemain-pemain pasukan utama kerap tercedera, terutamanya pada musim 2021.

Apabila ditanya wartawan, barisan kejurulatihan sebelum ini kerap menyatakan yang kecederaan-kecederaan ini berlaku akibat nasib yang tak baik, namun Dr. Hazwan tidak begitu bersetuju.

“Itu sebabnya saya dilantik: untuk mengetahui sebab-sebab kecederaan ini berlaku dan bagaimana proses pemulihan pemain boleh dilakukan dengan lebih baik. Walaupun kadangkala kecederaan dipersalahkan atas nasib tak baik atau keadaan padang permainan, terdapat faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan kepada kecederaan, seperti sejarah kecederaan dan status latihan pemain.

“Kami kini ingin mengetahui secara lebih intrinsik mengapa kecederaan berlaku; dengan melihat faktor tadi dan aspek lain seperti pendekatan mental pemain dalam setiap perlawanan. Saya ingin melihat faktor ini secara keseluruhan dan kemudian mendiagnosis, mengurus dan memperbaiki kecederaan ini supaya kita dapat mengurangkan risiko kecederaan di masa hadapan. Ini sasaran jabatan untuk tahun depan,” jelasnya.

Namun dia menegaskan yang kejayaan jabatannya turut bergantung kepada kerjasama dari pihak-pihak lain.

“Sasaran yang kami mahu gapai tidak boleh dilakukan oleh jabatan sains sukan sahaja,” akuinya secara terus terang. “Saya akan bekerjasama dengan jurulatih, dan juga penganalisis, untuk membantu mereka memahami apa yang kami cuba laksanakan supaya pendekatan itu lebih holistik.

“Kami kini turut cuba mendapatkan input barisan kejurulatihan kerana kami mahu merancang dengan lebih baik dari segi pemulihan kecederaan dan kecergasan awal. Mulai sekarang ia memerlukan usaha berpasukan dan kami tidak boleh bekerja dalam silo lagi.

“Pemain-pemain perlu disediakan dengan baik dan berasa dijaga dengan baik, dan mereka sangat bimbang akan kecederaan. Kebimbangan mereka adalah sama ada mereka akan diuruskan dengan baik dan boleh kembali beraksi tepat pada masanya. Saya mahu mengurangkan kebimbangan ini supaya mereka benar-benar mempercayai perkhidmatan pemulihan kami dan seterusnya, mempercayai Jabatan Sains Sukan.”

Dr. Hazwan turut menjelaskan yang dia ingin mempertajamkan operasi jabatannya, supaya mereka seterusnya dapat mempersiapkan pemain-pemain yang mantap untuk kelab.

“Jabatan sains sukan Selangor turut mengandungi unit ‘strength and conditioning’, ahli psikologi kelab, unit pemulihan dan pakar pemakanan. Kami semua berusaha untuk matlamat yang sama; untuk memberikan pemain-pemain persediaan terbaik.

“Kami mempunyai antara kemudahan terbaik di negara ini, tetapi kini tiba masanya untuk bukan sahaja mempunyai perkakasan terbaik. Kami juga perlu menggabungkan semua perisian; CPU, RAM, cakera keras semuanya perlu berfungsi bersama-sama untuk mencipta mesin terunggul,” kata beliau.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.