Selangor FC dapat kelebihan

Preview Piala Malaysia: Selangor FC lwn Perak FC

Kempen Piala Malaysia 2021 Gergasi Merah dimulakan Ahad ini, 26 September, dengan pertemuan Selangor lwn Perak di Stadium MBPJ. Berdepan dengan pasukan yang sudah tersingkir dari Liga Super, ia merupakan peluang terbaik anak-anak buah Karsten Neitzel untuk mematahkan satu trend pelik mereka musim ini.

Kredit foto utama Selangor FC

Seladang tak mahu dilaukkan lagi

Seperti Piala Malaysia, Sang Seladang juga tahun ini menyambut tahun keseratus penubuhan mereka. Namun begitu, mereka tidak akan dapat menjalankan sambutan meriah. Akibat salah pengurusan, mereka mengalami masalah kewangan, yang seterusnya menyebabkan kemerosotan prestasi dan kehilangan pemain-pemain bintang. Akibatnya, mereka tersingkir dari divisyen satu buat kali pertama dalam sejarah Liga Super.

Kedua-dua pertembungan Selangor dan Perak awal musim ini tamat dengan kemenangan mudah buat Selangor (3-1, 3-0), walaupun Merah Kuning sebenarnya agak kerap dikejutkan pasukan-pasukan bukan pilihan musim ini.

Peluang membuka kempen Piala Malaysia di laman sendiri berhadapan dengan pasukan yang tidak memberi masalah harus digunakan sebaik-baiknya oleh Karsten, apatah lagi mereka memiliki rekod buruk di Stadium MBPJ musim ini. Biarpun padang stadium ini telah dibaiki, mereka hanya mengutip tiga kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan dari 11 perlawanan di tempat sendiri musim ini.

Apa pun sebabnya, kemenangan di tempat sendiri dalam perlawanan pertama pasti akan memberikan mereka lebih keyakinan untuk menghadapi perlawanan-perlawanan di tempat sendiri seterusnya, apatah lagi dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan, mereka akan berhadapan pasukan pilihan, Terengganu FC di tempat lawan.

Kerana Perak yang sekarang bukanlah Perak yang dahulu dengan statistik musim ini yang hambar, tidak perlulah rekod-rekod pertembungan terdahulu diteliti secara terlalu terperinci.

Namun ini bukanlah bermakna yang Seladang boleh dianggap ‘lauk’ pada malam Ahad. Perlawanan terakhir mereka sebelum mengucapkan ‘sayonara’ kepada divisyen satu, berakhir dengan kemenangan 2-1 ke atas Sabah FC. Maknanya Perak ada peningkatan di bawah jurulatih sementara mereka, Shahril Nizam Khalil dan sudah pasti akan bermain lebih baik dalam saingan pasca-musim ini.

Keberadaan dan kemungkinan kesebelasan utama

Menerusi video latihan yang dimuatnaik kelab pada minggu ini, dapat dilihat ramai pemain yang sudah pulih dari kecederaan dan dapat kembali berlatih. Namun pemangku kapten pasukan dan pertahanan kanan Syahmi Safari tidak dapat diturunkan akibat mengutip kad merah dalam perlawanan terakhir liga.

Karsten dijangka menggunakan formasi empat pertahanan menentang Perak, dan ini telahan kesebelasan utama malam ini oleh Merah Kuning 24/7. Posisi penjaga gol akan dipegang Khairulazhan Khalid, manakala pertahanan (dari kanan ke kiri) adalah R. Dinesh, Sharul Nazeem, Safuwan Baharudin dan Jordan Ayimbila. Manuel Konrad akan kembali sebagai ‘CDM’, Oliver Buff sebagai pemain tengah, dan Hein Htet Aung sebagai pemain tengah menyerang. Hakim Hassan dan Daniel Asri akan membantu Ifedayo Olusegun di bahagian serangan.

Syahmi (penggantungan)

Tim Heubach (kecederaan jangka pendek)

Brendan Gan, Halim Saari, Shahrel Fikri Fauzi (sehingga tamat musim)

Cari pasal kalau gagal menang

Kesimpulannya, kegagalan mengutip mata penuh dalam perlawanan pembukaan ini, bilamana johan edisi tahun ini bakal mendapat kelayakan automatik ke Piala AFC 2022 dan Karsten sendiri mensasarkan kemenangan dalam perlawanan ini, sudah pasti ibarat mencari masalah. Awal minggu ini dia dilihat memberikan ‘presentation‘ taktikal kepada pengerusi kelab, dan jika gagal menang dengan Perak pastinya ramai penyokong pula yang akan minta penjelasan dari pengendali ini.

Di samping itu, kemenangan di MBPJ merupakan peluang bagi Selangor untuk mematahkan rekod persembahan buruk mereka di laman sendiri musim ini. Kalau gagal di rumah sendiri, ini membawa maksud yang peluang mereka merangkul trofi ke-34 tahun ini hanyalah samar-samar, jadi kemenangan harus dicari Karsten dan anak-anak buahnya dalam pertembungan Selangor lwn Perak.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.