MPFL batal

MAC kekal juara bertahan setelah MPFL dibatalkan

Berita baik, pasukan futsal Selangor MAC kekal juara bertahan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL). Berita buruknya, ini kerana edisi tahun ini MPFL batal, mengikut pengumuman terbaru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sedang juara MPFL 2019 itu bersiap-siap mengikuti Piala Futsal AFF 2021 yang akan berlangsung minggu depan di Thailand, kami dapat melihat pekeliling yang dikeluarkan FAM mengenai pembatalan ini, bertarikh 9 September. Keputusan ini terpakai ke atas kedua-dua kategori pertandingan; lelaki dan wanita.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Liga Premier Futsal Malaysia 2021 yang telah dirancang terpaksa dibatalkan setelah mengambil kira situasi semasa berkaitan dengan pandemik Covid-19, hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan penganjuran pertandingan yang dimaksudkan.

“Keputusan ini juga diambil selaras dengan status penganjuran pertandingan tersebut yang sehingga kini masih belum mendapat kebenaran rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara. FAM juga merasakan keputusan ini adalah yang terbaik ketika ini dan dalam pada masa yang sama memberi lebih ruang kepada setiap pasukan untuk membuat perancangan bagi menghadapi pertandingan ini yang diharapkan dapat dimulakan seawal Januari 2022,” tulis setiausaha agung FAM yang baru dilantik, Saifuddin Abu Bakar.

Sudah pasti keputusan ini amat-amat mengecewakan tatkala ada pengumuman dari pihak berkuasa yang sektor sukan dan rekreasi akan dapat beroperasi semula tidak lama lagi.

Tambahan pula, selepas pengumuman pembatalan Piala Belia dan Presiden dilakukan baru-baru ini oleh FAM atas alasan yang hampir sama, desas-desus menyatakan yang keputusan itu adalah satu ‘kerja senang’, dibuat semata-mata melepaskan kelab-kelab dari tanggungjawab pembangunan.

Harap-harapnya pemain-pemain dan pegawai pasukan MAC, yang mewakili Selangor FC dalam sukan futsal terus bersabar dengan keputusan ini, di samping kekal fokus terhadap tanggungjawab membawa nama Malaysia di Thailand.

Apa yang pasti, setelah MPFL batal, perkembangan bolasepak dan futsal di negara ini kelihatan akan terkandas selama beberapa tahun. Pentadbir sukan ini seharusnya menyahut cabaran untuk mengekalkan operasi di era endemik, ataupun hidup bersama wabak ini.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.