Selangor MAC kembali ungguli

Selangor MAC ‘tapau’ pasukan Pantai Timur, kembali ungguli MPFL

Selepas tidak beraksi dalam sirkit keempat Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL), pasukan futsal yang mewakili Selangor FC kembali dalam sirkit kelima pada hujung minggu terbaru. Hasil persembahan yang meyakinkan, mereka memenangi kedua-dua perlawanan dan hasilnya Selangor MAC kembali ungguli carta liga MPFL.

Kredit foto Persatuan Bolasepak Malaysia

Kerana tidak dijadualkan beraksi dalam mana-mana perlawanan dalam sirkit keempat pada minggu sebelumnya, MAC dipintas pasukan-pasukan lain dan jatuh ke tangga keempat.

Namun ini seolah-olah memarakkan lagi semangat anak-anak buah ketua jurulatih Addy Shairyllyzam Shafiee dalam sirkit kelima yang sekali lagi dijalankan di Kompleks Sukan Negara Panasonic, apabila mereka dijadual bertemu dua pasukan Pantai Timur Semenanjung.

Pada hari Sabtu, 12 Februari, mereka pada mulanya diberi tentangan sengit oleh Kelantan FC untuk menjadikan kedudukan 2-2 pada separuh masa pertama. Namun semangat tinggi membawa mereka tiga mata penuh dengan perlawanan tamat 5-3, dengan dua gol jaringan bintang dari Brazil Matheus Vasconcelos, dua dari Khairul Effendy Bahrin dan satu oleh Ekmal Sharin.

Keesokan harinya pasukan yang diuruskan Mimi Afzan Afza ini bertemu Terengganu pula, dan sekali lagi mereka meraih kemenangan 4-2 dengan jaringan ‘seorang satu’ oleh Matheus, Effendy, Firdaus Ambiah dan Faris Johan.

Kedua-dua kemenangan ini membawa catatan kemenangan keenam berturut-turut musim ini, dan dibantu pula keputusan pencabar terdekat Pahang Rangers yang seri mengejut 2-2 dengan KL City, ia membantu Selangor MAC kembali ungguli carta MPFL dengan 18 mata selepas tujuh perlawanan.

Lebih meyakinkan lagi, Selangor MAC kurang satu perlawanan berbanding Rangers.

Tahniah diucapkan buat Puan Mimi dan anak-anak buahnya, dan semoga terus meraih banyak lagi mata penuh dalam perjalanan mempertahankan kejuaraan MPFL.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.