pemain muda tinggalkan Selangor 2

Selangor enggan lepas pemain ke skuad B-23

Selangor, Malaysia B-23 sedang bertelagah nampaknya, jika satu laporan New Straits Times baru-baru ini boleh dipercayai.

Menurut laporan ini, Selangor FC enggan melepaskan pemain-pemain muda mereka untuk menyertai kem latihan pasukan Malaysia B-23 yang akan menyertai pusingan kelayakan Piala Asia B-23 nanti. Peringkat kelayakan ini dijadualkan berlangsung di Mongolia dari 25 ke 31 Oktober.

Walaupun ini merupakan pertandingan peringkat umur bawah 23 tahun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merancang untuk menggunakan pemain-pemain berusia 20 tahun ke bawah bagi persiapan jangka panjang.

Menurut laporan New Straits Times ini, keengganan ini adalah disebabkan pertandingan ini berada di luar jendela antarabangsa FIFA, manakala pemain-pemain muda ini mungkin diperlukan bagi aksi Piala Malaysia bersama pasukan utama.

Namun setiausaha agung FAM yang baru dilantik, Saifuddin Abu Bakar, tidak mahu memperbesar-besarkan perselisihan ini sambil mengakui yang Selangor dan FAM telah berunding mengenainya Jumaat lalu.

“Tiada apa-apa konflik berlaku kerana kedua-dua pihak memahami antara satu sama lain. Kami tahu yang latihan ini berada di luar jendela FIFA, jadi itu sebabnya kami perlu berbincang mengenai perkara ini.

“Kami memahami yang ia adalah tugas nasional, dan Selangor telah melahirkan ramai pemain sejak bertahun lamanya, terutamanya pemain-pemain muda bagi pasukan kebangsaan. Ini sebabnya kami perlu menamatkannya dengan situasi menang-menang,” jelas Saifuddin yang juga merupakan bekas pegawai pembangunan dan teknikal Selangor.

Jika benar, keputusan ini sudah pasti dilihat sedikit menghairankan kerana pada fasa pertama kem latihan pasukan Malaysia B-20 yang dijalankan dari 30 Ogos ke 7 September lalu, Selangor melepaskan 10 pemain mereka yang disenaraikan ketua jurulatih Harimau Muda, Brad Maloney. Malah penolong jurulatih Selangor 2 Rusdi Suparman turut menyatakan rasa bangga yang anak buahnya mendominasi senarai panggilan ini.

Walau bagaimanapun, kita percaya yang pengurusan kelab mengambil keputusan ini demi kebaikan kelab, dan penyokong Selangor harus menyokong tindakan mereka. Diharapkan persetujuan yang dicapai nanti di antara Selangor, Malaysia B-23 masih akan membawa kebaikan kepada bolasepak negara.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.