Hein Htet Aung bangga

Apa yang kita lihat dalam pertemuan Selangor-Melaka

Hajat Selangor FC untuk mendapatkan kemenangan kelima berturut-turut dalam Liga Super disekat oleh Melaka United, dalam pertembungan mereka pada malam Sabtu.

Biarpun terpaksa bermain dengan 10 orang disebabkan kad merah ke atas Ashmawi Yakin, anak-anak buah Karsten Neitzel dilihat utuh mempertahankan gol pendahuluan minit ke-18 yang dijaringkan Hein Htet Aung. Sayangnya sedang perlawanan tinggal hanya beberapa detik, percubaan dari luar kotak Manuel Ott terbias dan menerjah gawang, gagal ditangkap Khairulazhan Khalid.

1) Pemain Selangor pantang dipuji

Tidak ramai pemain-pemain Gergasi Merah beberapa tahun ini yang dapat dipuji persembahan mereka secara total. Mereka bukan tak bagus, cuma tidak konsisten. Ini termasuklah penerima kad merah dalam perlawanan ini, Ashmawi. Dia bukanlah seorang pemain pertahanan yang cemerlang dalam musim-musim lalu dan hanya kerap muncul sebagai pemain gantian, namun sejak ketiadaan Tim Heubach dan Safuwan Baharudin musim ini akibat kecederaan, Mawi semakin mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan menunjukkan peningkatan. Tambahan pula, beliau lebih berpengalaman berbanding ‘centreback’ yang sedang meningkat naik, Sharul Nazeem Zulpakar.

Namun menentang Melaka, dia melakukan kesilapan yang merugikan pasukan sedang perlawanan belum pun masuk setengah jam. Walaupun dia bukan puncanya (kau tunggu kejap, Konrad) dan ‘foul’ yang dilakukannya memang 50-50 dalam situasi sebegitu, persoalan harus ditimbulkan berkenaan keputusannya untuk mengambil risiko dengan membentes Sony Norde sebagai ‘last man’. Jika penyerang Melaka itu dapat melepaskan diri dan menjaringkan gol penyamaan pun, masih ada banyak masa buat Selangor untuk kembali mencari gol pendahuluan.

2) Apa kau buat tu, Manu?!

Sudah beberapa perlawanan Manuel Konrad diragui prestasinya (melawan Perak FC minggu lalu, dia hilang bola dalam kotak penalti sendiri!), dan malam tadi dia buat hal lagi. Paling jelas adalah kehilangan bola yang membawa kepada serangan pantas Melaka dan kad merah Ashmawi, tetapi selepas itu dia masih bermain terlalu kasual dan gagal membawa kesan sebagai seorang pemain tengah bertahan.

Penulis tak akan menyumpah pemain asal Jerman ini dalam artikel ini, kerana penyokong-penyokong Selangor ramai sudah bengang dengannya. Sila tengok di ruangan-ruangan komen laman sosial kelab kalau anda tak percaya.

Ini juga menimbulkan persoalan: bagaimanakah Selangor menjalankan proses ‘scouting’ yang membawa kepada pemilihan bekas pemain pasukan muda Jerman ini?

3) Takkan Ifedayo nak buat semua?

Ini perlawanan kedua berturut-turut kita dapat melihat Ifedayo Olusegun lakukan sesuatu yang agak pelik. Semasa mereka masih ada kesemua 11 pemain, bahagian tengah gagal menggerakkan bola ke atas, hanya bertukar-tukar hantaran di padang sendiri, dan akhirnya Ifedayo turun ke bawah, meminta bola sebelum menghantarnya kepada Mukhairi Ajmal. Ia turut dilakukannya minggu lalu semasa menentang Perak.

Mengapakah barisan ‘midfield’ Selangor kelihatan sulit untuk mengawal bahagian tengah padang dan menghantar bola ke barisan serangan? Yang peliknya, ini merupakan satu masalah yang dilihat telah berlaku dari awal musim lagi. Mengapakah Karsten masih tidak dapat menyelesaikan masalah ini?

Bantulah rakan sepasukan anda ini untuk kembali merampas tempat pertama carta penjaring terbanyak liga. Susah untuk Dayo menjaringkan gol kalau hantar bola ke barisan serangan pun terpaksa dilakukannya sendiri.

4) Dinesh vs Ayim

Semenjak pulih dari kecederaan awal musim (satu lagi masalah Merah Kuning), Dinesh Rajasingam kembali mendapat tempat dalam skuad. Namun begitu, ‘fullback’ kiri ini dilihat gugup. Menentang Perak tempoh hari, dia amat cemerkap sehinggakan dilayangkan kad kuning tak sampai 10 minit perlawanan berlangsung, namun selamba kekal melakukan bentesan-bentesan keras yang memaksa Karsten menggantikannya beberapa minit sebelum tamat separuh masa pertama!

Menentang Melaka dia bermain lebih baik (yang sebenarnya bukan satu pujian pun jika anda lihat permainannya minggu lalu), tetapi dia jelas masih perlukan masa untuk kembali mendapat rentak.

Persoalannya, mengapakah Karsten kekal memilih Dinesh semasa dia masih goyah, sedangkan masih ada pemain muda Jordan Ayimbila yang sudah membuktikan kematangannya? Ya, Jordan adakalanya sedikit gopoh dan ‘eager’, tetapi dia lebih baik berbanding bekas pemain Pahang itu buat masa ini. Sebaliknya, pemain asal Ghana itu sudah diturunkan semula ke pasukan simpanan buat dua perlawanan. (Masukkan ‘meme’ John Travolta terpinga-pinga di sini.)

5) Hikayat Sang Kancil dan Gergasi

Penyokong Merah Kuning sudah pasti geram apabila kehilangan mata penuh gara-gara gol penyamaan saat akhir. Namun harus diingat, ini bukan seperti seri dengan Sri Pahang (2-2) dan Sabah FC (juga 2-2) beberapa bulan lalu, bilamana gol penyamaan lawan hadir akibat kesilapan-kesilapan mudah.

Menentang Melaka, Selangor bermain kurang pemain selama satu jam, dan terbolos disebabkan satu cubaan yang terbias. Boleh kata, Sang Kancil bernasib baik.

Tambahan pula, rekod pertembungan kedua-dua pasukan ini sememangnya sengit semenjak Melaka pulang ke kancah Liga Super. Kedua-dua kelab ini bukanlah musuh ketat, tetapi entah mengapa ia kerap menghasilkan perlawanan sengit. Ada baiknya media memberikan lebih perhatian terhadap pertembungan ini di masa hadapan, atas sebab nilai hiburan yang dihasilkan.

Baca juga: Pertembungan terhangat Selangor dan Melaka United

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.