MAC Selangor, Piala Futsal AFF 2021

MAC akhiri Piala Futsal AFF di tempat ketiga

Setelah lima hari bertanding di Korat, Thailand, pasukan MAC yang mewakili Selangor, Piala Futsal AFF edisi tahun ini diakhiri dengan tempat ketiga dari lima pasukan. Biarpun hadir dengan status penyandang juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Selangor MAC sukar mengatasi kelab-kelab dari Thailand. Namun mereka masih berjaya mengutip dua kemenangan dalam saingan format liga satu pusingan ini.

Kredit foto utama Selangor MAC

MAC memulakan saingan dengan langkah kiri di venue kejohanan Terminal 21 Hall, pada 13 September apabila tewas 3-0 kepada juara bertahan, Freefire Bluewave Chonburi. Namun mereka bangkit dalam perlawanan seterusnya pada esok harinya apabila menewaskan pesaing dari Malaysia, Pahang Rangers 5-1. Pertemuan dengan sebuah lagi pasukan Thailand, Port FC pada 15 September turut diakhiri dengan kekalahan, kali ini 4-0, tetapi mereka berjaya menamatkan saingan dengan nota gembira apabila membenam Mohahang All Star FC dari Kemboja 7-2.

Dua kemenangan ini membolehkan MAC mengumpul enam mata, sekaligus menamatkan kejuaraan di tangga ketiga dari lima pasukan. Ekmal Shahrin pula menjadi penjaring terbanyak pasukan dengan tiga gol. Sebagai perbandingan, pencapaian terbaik pasukan dari Malaysia adalah tempat kedua dalam edisi pertama kejohanan yang dicapai Felda United pada tahun 2015. Dua tahun berikutnya, Melaka United menamatkan persaingan di tempat ketiga.

Yang menariknya, kedudukan juara hanya dimiliki Chonburi berdasarkan beza jaringan, kerana berkongsi 10 mata dengan naib johan kejohanan, Port. Perlawanan di antara kedua-dua pasukan ini, yang berlangsung dramatik pada hari terakhir pertandingan, tamat dengan jaringan 3-3.

Sudah pastinya pemain-pemain dan pegawai pasukan MAC sendiri tahu yang mereka boleh memberikan cabaran yang lebih sengit, jika situasi semasa berbeza. Sudah hampir dua tahun MPFL tidak dijalankan akibat wabak Covid-19, dan lebih menyedihkan, pengumuman pembatalan musim 2021 dilakukan penganjur, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sewaktu pasukan sedang membuat persiapan akhir bagi Piala Futsal AFF 2021.

Namun bagi penyokong Merah Kuning, tidak ada apa yang harus dimalukan MAC yang mewakili Selangor Piala Futsal AFF. Anak-anak buah Addy Shairyllyzam Shafiee masuk bertanding di sebalik kekangan yang dialami, dan sudah pastinya mereka akan menunjukkan prestasi yang lebih baik setelah aksi domestik kompetitif dapat dijalankan semula.

Biarpun MPFL tidak akan dilangsungkan tahun ini, diharapkan pertandingan-pertandingan bersifat jemputan atau terbuka dapat dianjurkan di kalangan pasukan-pasukan futsal terbaik di Malaysia sementara menanti tahun 2022, demi kelangsungan sukan ini. Lagipun, sekatan-sekatan kerajaan ke atas sektor sukan dan rekreasi di negara ini telah diangkat sedikit demi sedikit, yang sebenarnya membuatkan keputusan-keputusan pembatalan pertandingan sejak sebulan lalu lebih membingungkan.

Sebagai perbandingan, pada masa yang sama, Piala Dunia Futsal 2021 kini sedang berjalan di Lithuania, dengan Thailand dan Vietnam telah turut layak ke peringkat kumpulan.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.