latihan terakhir sebelum Selangor

Jurulatih Terengganu sifatkan Selangor “paling kuat”

Undian yang dijalankan baru-baru ini menyaksikan pertembungan pasukan-pasukan Perak, Selangor, Terengganu Piala Malaysia bakal dijalankan dalam Kumpulan B. Di samping itu, kumpulan ini akan turut disertai pasukan bukan pasukan simpanan ketiga terbaik dalam Liga Premier.

Kredit foto utama Malaysian Football League

Tidak dapat dinafikan yang di atas kertas, pasukan-pasukan yang dianggap pilihan untuk menamatkan peringkat Kumpulan B di kedudukan kedua teratas dan seterusnya layak ke peringkat suku akhir adalah Terengganu FC yang baru-baru ini menamatkan saingan Liga Super di tempat keempat, dan juga Selangor FC, yang berada satu tangga di bawah mereka.

Namun apa yang mengejutkan adalah ketua jurulatih Sang Penyu, Nafuzi Zain sebaliknya menyifatkan yang Gergasi Merah merupakan pasukan terbaik dalam kumpulan ini, apabila ditemubual Harian Metro.

“Sudah tentu Selangor paling kuat dalam kumpulan kami, lebih-lebih corak permainan pasukan itu semakin meningkat dan menjadi dalam saingan liga, malah tradisi dan reputasi skuad itu dalam kejohanan memasuki edisi ke-100 juga hebat dengan memegang rekod pasukan paling berjaya dalam kancah Piala Malaysia.

“Namun dua lagi pencabar tidak boleh dipandang sebelah mata kerana mereka mampu membuat kejutan jika kita mengambil mudah,” katanya dalam artikel yang diterbitkan pada Isnin, 20 September.

Apa yang membuatkan pernyataan ini sukar diterima, mungkin buat penyokong-penyokong Merah Kuning sendiri, adalah hakikat bahawa pasukan kendalian Karsten Neitzel telah ‘ditapau’ dalam kedua-kedua pertembungan di antara pasukan-pasukan ini dalam saingan liga musim ini. Perlawanan di Kuala Terengganu berkesudahan 3-1 manakala Selangor tumpas 2-1 di Stadium MBPJ.

Sudah pastinya ini adalah cubaan jurulatih muda itu untuk menjauhkan pasukannya daripada tekanan dan harapan terlalu tinggi, apabila mereka baru-baru ini kalah tiga kali dan seri sekali dalam peringkat akhir liga. Kemerosotan prestasi itu membuatkan mereka kehilangan tempat kedua dalam liga dan kelayakan automatik ke Piala AFC, malahan timbul pula desas-desus yang Nafuzi akan kehilangan jawatannya.

Dia bagaimanapun masih akan bersiap sedia sebaik mungkin bagi pertembungan Selangor-Terengganu Piala Malaysia Kumpulan B, dan bersedia menggunakan kesemua pemain-pemain asing yang ada di pasukan utama dan simpanan (Terengganu II).

“Semua pemain import Terengganu II akan [turut] menjalani latihan bersama pasukan utama. Ini bermakna kami mempunyai pilihan sembilan pemain import dan juga pemain tempatan sebagai persediaan menjelang saingan Piala Malaysia, tambahan pula jadual saingan ini begitu padat.

“Namun kita akan melihat daripada segi kesesuaian pemain berkenaan bersama pasukan, lagipun pentas Piala Malaysia berbeza berbanding liga, tapi kehadiran mereka bagus buat pasukan,” jelas pengendali yang berasal dari Kelantan ini.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.