Selangor umumkan Sam Somerville

Selangor umumkan Sam Somerville, kini dibarisi dua penjaga gol Malaysia

Setelah mengumumkan pemain-pemain pasukan utama yang dikekalkan dan yang meninggalkan pasukan, Gergasi Merah kini mula mendedahkan anggota-anggota baru pasukan. Pada petang Jumaat, 17 Disember, Selangor umumkan Sam Somerville, bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim II dan Penang FC sebagai kemasukan bagi musim 2022.

Kredit foto Selangor FC

Kemasukan beliau telah diura-urakan sejak sebulan lebih dulu, dan pengumuman ini telah mengesahkannya. Tidak hairan yang khidmat penjaga gawang Malaysia kelahiran England ini ditagih Selangor, setelah menampilkan persembahan cemerlang bersama Harimau Kumbang pada musim 2021.

Walaupun tidak memiliki susuk setinggi ramai penjaga gol-penjaga gol lain, Sam telah melakukan 16 penampilan dalam Liga Super buat Penang sebagai penjaga gol utama dan mencatatkan lima ‘clean sheet’. Persembahannya bukan saja mendapat perhatian ramai, malah membantu mereka menamatkan saingan di tempat ketiga di sebalik status kelab yang baru sahaja mendapat promosi. Salah satu catatan kebal ini dilakukannya dalam perlawanan menentang Selangor pada bulan Mac, yang mereka menangi 2-0 secara mengejut.

Dalam tahun ini juga penjaga gol berusia 27 tahun ini telah mendapat panggilan Harimau Malaya oleh ketua jurulatih Tan Cheng Hoe untuk beberapa perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Dunia, namun tidak berpeluang diturunkan.

Sam memberi kenyataan pendek dalam pengumuman kelab ini:

“Apabila anda bercakap tentang bola sepak di Malaysia, saya rasa Selangor FC merupakan antara pasukan pertama yang akan disebut.

“Jadi, saya faham betapa besarnya makna bermain untuk kelab ini. Saya tahu Selangor FC mempunyai cita-cita tinggi untuk mencapai kejayaan musim hadapan dan ianya sama seperti apa yang saya mahukan.

“Kami mahu mencapai kemenangan bersama.”

Setelah Selangor umumkan Sam Somerville, ini bermakna kelab kini mempunyai dua orang penjaga gawang Malaysia, dengan seorang lagi merupakan Khairulazhan Khalid. Diharapkan ini akan depat menyelesaikan masalah kerap bolos dalam beberapa musim lalu, biarpun Selangor mencatatkan jaringan gol kedua tertinggi dalam saingan Liga Super 2021.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas pertahanan kanan Selangor, Namathevan Arunasalam diumumkan akan menyertai Negeri Sembilan mulai musim depan. Pemain berusia 25 tahun ini baru-baru ini diumumkan sebagai salah seorang dari tujuh pemain yang akan meninggalkan pasukan setelah tamat musim.

Penyertaan Nama di skuad Hoben Jang Hoben ini menyaksikan dia akan bersama dua lagi ahli pasukan utama Selangor musim 2021, iaitu penyerang Sean Selvaraj dan pemain tengah Sarkunan Krishnansamy.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.