Selangor umumkan Zahril

Selangor umumkan Zahril dan Fazly

Pada hujung minggu Hari Krismas baru-baru ini, Selangor FC mengumumkan kehadiran dua orang pemain tempatan baru, Zahril Azri Zabri dan Fazly Mazlan. Selangor umumkan Zahril dan Fazly sebagai pemain skuad utama bagi musim 2022.

Fazly yang berusia 28 tahun merupakan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pada musim 2021 telah dipinjamkan ke Sri Pahang.

Bersama JDT dia telah banyak memenangi trofi, termasuklah Piala AFC 2015 yang menurutnya merupakan kenangan terindah dalam kerjayanya setakat ini. Dia boleh bermain di posisi pertahanan tengah, kiri dan juga ‘wing back’.

Menurut pengumuman rasmi, Fazly yang pernah mewakili Malaysia di peringkat senior juga telah ditandatangani dengan kontrak selama dua musim.

“Selangor FC dan saya memiliki misi yang sama iaitu kami ingin menang sesuatu di sini, InshaaAllah saya akan buat yang terbaik untuk kelab ini bagi mencapai misi tersebut.

“Saya berharap para penyokong akan terus berikan sokongan kepada pasukan walaupun ketika kami jatuh kerana itu adalah pembakar semangat untuk kami terus berjuang,” jelas Fazly dalam pengumuman rasmi itu.

Sehari sebelum itu, Selangor mengumumkan penyertaan Zahril Azri Zabri, pemain tengah berusia 22 tahun. Pada musim 2021, dia berjaya membantu Sarawak United muncul naib juara Liga Premier sekaligus layak ke Liga Super musim depan.

Sedikit melucukan, Zahril pada musim 2020 pernah beraksi buat Gergasi Merah, dengan rekod satu perlawanan bersama skuad utama, sebelum berhijrah ke Sarawak.

Dia juga akan kembali bergabung dengan bekas jurulatihnya di Felda United, Nidzam Jamil yang kini merupakan pembantu jurulatih pasukan utama Selangor. Kerjaya Zahril mula meningkat naik di kelab itu pada musim 2019.

“Saya akan bekerja keras untuk memberikan persembahan yang baik dengan kelebihan yang saya miliki untuk mendapatkan kejayaan seperti menjulang piala bersama Selangor FC.

“Jika ada rezeki lebih, saya mahu bermain di peringkat lebih tinggi bersama pasukan ini seperti di saingan Piala AFC. Saya harap semua dapat doakan kejayaan saya dan pasukan Selangor FC untuk musim 2022,” ucap Zahril pendek dalam pengumuman rasmi.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.