Selangor vs PJ City, Jordan Ayimbila

Preview: Selangor FC lwn PJ City

Saingan Liga Super musim 2021 bakal melabuhkan tirai hujung minggu ini, dengan Selangor FC kembali ke Stadium MBPJ untuk berhadapan dengan pasukan ‘rakan serumah’, Petaling Jaya (PJ) City. Permulaan liga yang mendukacitakan kini mengakibatkan Merah Kuning tidak dapat menamatkan liga dalam kelompok tiga teratas, biarpun sedang melakar rekod enam perlawanan berturut-turut tanpa kalah. Namun begitu, anak-anak buah Karsten Neitzel masih mempunyai peluang untuk melonjak ke tangga keempat, sekaligus membolehkan mereka diletakkan dalam Balang 1 undian Piala Malaysia nanti. Kempen piala mereka bermula dari pertembungan Selangor vs PJ City.

Ahad ini, 12 September, Gergasi Merah akan berentap dengan Sang Phoenix, sebuah pasukan yang unik musim ini, yang dianggotai mereka-mereka yang begitu dekat di hati Selangor.

Kredit foto utama Malaysian Football League

Pasukan yang bangkit semula

Mungkin ramai yang sudah tahu bahawa PJ City musim ini hanya dibarisi pemain-pemain berstatus tempatan, tetapi pasti tidak ramai yang sedar bahawa mereka turut dibarisi pemain-pemain yang mula mendapat aksi peringkat senior semasa di Selangor.

Ketika itu, Merah Kuning berada di bawah kendalian bekas pemain, Maniam Pachaiappan, yang juga bos PJ City musim ini. Antara pemain-pemain ini adalah Tamil Maran Manimaran, Kugan Dhevarajan dan Kannan Kalaiselvan. Di samping itu, mereka juga turut dibantu pemain-pemain yang mewakili Selangor dalam dua musim lalu; Khyril Muhymeen Zambri dan Prabakaran Kanadasan.

Biarpun mencatat rekod buruk deretan enam kekalahan, anak-anak buah Maniam mengambil peluang bertemu pasukan tangga tercorot UiTM FC minggu lalu untuk mencatatkan kemenangan 1-0, dan ini pasti memberikan mereka suntikan moral untuk berhadapan dengan Selangor.

Sang Phoenix juga tentu mengetahui keupayaan mereka untuk mencalar ego Gergasi. Sebagai sebuah kelab baru, kedua-dua pasukan ini hanya pernah bertembung dalam empat perlawanan kompetitif, dan biarpun dua daripadanya dimenangi Selangor dan dua lagi berakhir dengan keputusan seri, perlawanan-perlawanan ini dilihat memerah segala kudrat pemain-pemain Merah Kuning.

Pertemuan terbaru yang berlangsung dalam pusingan kesebelas liga musim 2021 membuktikan pendapat ini. PJ City membuka jaringan pada minit ke-25, dan Selangor yang terpaksa berhempas pulas hanya terselamat dan berjaya merampas kemenangan menerusi ‘kesaktian’ penyerang, Ifedayo Olusegun yang menghasilkan dua jaringan dalam waktu kecederaan.

Dari segi rekod berdasarkan ‘venue’ perlawanan, PJ City dilihat tidak banyak berbeza di tempat lawan dan di gelanggang sendiri, dan bermain di MBPJ pada Ahad nanti sudah pasti akan memberikan mereka kelebihan. Sebaliknya anak-anak buah Karsten yang perlu berhati-hati dalam perlawanan Selangor vs PJ City, kerana amat menghairankan sekali, mereka musim ini amat gugup apabila bermain di MBPJ.

Kemungkinan kesebelasan utama

Kejayaan membenam Sabah FC 6-0 minggu lalu sudah pasti menyebabkan bos Selangor ‘pening‘. Dalam melakukan pilihan bagi barisan penyerang, Karsten ada pilihan Nor Hakim Hassan dan Danial Asri yang kedua-duanya menjaringkan gol di Likas, dan juga Aliff Haiqal dan Hein Htet Aung yang memainkan peranan baik. Ifedayo tak perlulah disebut.

Sayangnya seorang lagi pemain yang menjaringkan gol minggu lalu, Mukhairi Ajmal tidak dilihat dalam sesi latihan, berkemungkinan akibat kecederaan yang berlaku semasa melakukan jaringan itu. Manuel Konrad yang diketepikan minggu lalu juga tiada dalam sesi latihan minggu ini. Bagaimanapun, Ashmawi Yakin yang digantung minggu lalu akan dapat beraksi semula.

Ini adalah kemungkinan kesebelasan utama Selangor Ahad ini. Khairulazhan kekal sebagai penjaga gawang, Syahmi Safari kembali ke posisi bek kanan, Sharul Nazeem sebagai pertahanan tengah berpasangan dengan Safuwan Baharudin, dan Jordan Ayimbila di sebelah kiri. Oliver Buff sebagai CDM dibantu di hadapannya oleh Sarkunan Krishnansamy dan Aliff Haiqal Lau. Hein Htet Aung dan Danial Asri pula akan memberikan sokongan kepada usaha Dayo untuk memenangi anugerah kasut emas liga buat kali kedua berturut-turut.

Keberadaan

Tim Heubach (kecederaan jangka pendek)

Brendan Gan, Halim Saari, Shahrel Fikri Fauzi (sehingga tamat musim)

Juarai Piala Malaysia bermula dari sekarang

Sedang peluang layak ke Piala AFC 2022 menerusi tempat kedua liga telah tertutup, peluang terakhir masih ada menerusi trofi Piala Malaysia. Pertembungan Selangor vs PJ City ini adalah permulaannya, dan sebab yang paling utama adalah bagi membolehkan Selangor masuk ke balang pertama.

Tetapi ia juga penting dalam memberikan skuad Merah Kuning ‘latihan’, berhadapan dengan sebuah pasukan yang acapkali membantutkan permainan mereka. Jika Karsten dan anak-anak buahnya mampu mengatasi pasukan yang liat ini, mereka mampu pergi jauh dalam pertandingan akan datang. Dan jika mereka sekali lagi dapat meraih kemenangan sambil menunjukkan gaya permainan yang agresif dan menarik seperti menentang Sabah, frasa ‘Misi 34’ pasti akan mula disebut-sebut oleh penyokong Selangor.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.