Seruan Terus Berjuang

Bintang-bintang Selangor sampaikan seruan ‘Terus Berjuang’

Walaupun jersi gelanggang lawan Selangor FC yang bertemakan kesedaran terhadap penyakit barah telah selamat dilancarkan minggu lalu dan seterusnya mendapat reaksi positif banyak pihak, seruan ‘Terus Berjuang’ masih dilontarkan.

Kredit tangkap layar Selangor FC

Pada malam Isnin, 7 Februari, laman-laman sosial Selangor memuat naik sebuah lagi video kesedaran terhadap kanser, penyakit yang turut menimpa kapten pasukan, Brendan Gan musim lalu dan memerlukan beliau menjalani rawatan.

Video sepanjang 40 saat ini menayangkan bintang-bintang Selangor memaparkan seruan ‘Terus Berjuang’ dalam bahasa ibunda masing-masing. Khairulazhan Khali, Safuwan Baharudin dan Halim Saari misalnya menunjukkan mesej dalam Bahasa Melayu, manakala pasangan baru dari Brazil Hyuri Henrique dan Herlison Caion menterjemahkan mesej tadi dalam Bahasa Portugis. Bintang Myanmar Hein Htet Aung menunjukkan mesej tadi dalam Bahasa Burma.

Pesanan menyentuh hati tadi adalah bagi membantu membawa kesedaran mengenai penyakit kanser, dengan jersi ‘away’ 2022 Gergasi Merah turut mengambil inspirasi dari pengalaman Brendan. Malah setiap jersi ini yang terjualan akan membawa kepada sumbangan RM5 kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Kedua-dua organisasi ini juga mendapat sumbangan RM15,000 masing-masing dari Selangor dalam majlis pelancaran yang dijalankan Jumaat lalu, 4 Februari, yang diadakan bersempena dengan Hari Kesedaran Kanser Sedunia.

Penyokong juga pasti mengharapkan pasukan menghayati seruan ‘Terus Berjuang’ ini di atas padang dalam saingan musim 2022 yang akan bermula bulan depan.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.