Shahrel Fikri dan Brendan

Eky, Brendan sertai latihan pra-musim

Minggu kedua latihan pra-musim 2022 Selangor FC berjalan, dan semakin ramai anggota kembali ke pangkuan pasukan utama. Yang terbaru, Shahrel Fikri dan Brendan Gan kembali menyertai latihan bagi persediaan musim baru.

Kredit foto Selangor FC

Kedua-dua pemain pasukan Malaysia ini sedikit lambat memulakan latihan atas sebab yang berbeza.

Shahrel baru-baru ini menyertai pasukan Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF 2020 di Singapura, dan penyerang itu diberi cuti rehat sedikit lama kerana beraksi tanpa henti sedari Piala Malaysia tahun lalu.

Sementara itu, Brendan Gan pula telah lama tidak berlatih bersama-sama pasukan kerana menjalani rawatan barah testis yang didiagnosis pertengahan tahun lalu. Gambar-gambar kapten pasukan ini yang disiarkan di laman sosial kelab juga menunjukkan susuknya yang sudah kembali tegap, setelah lama menjalankan pemulihan kecergasan dan fizikal setelah tamat rawatan barah.

Pemain tengah ini turut memberikan komen mengenai kepulangannya ke padang latihan bagi musim 2022, musim ketiganya bersama Gergasi Merah.

“Dapat kembali berlatih bagi musim 2022 merupakan sesuatu yang mengujakan buat saya kerana sudah lama saya tak dapat menyertai ‘drill’ berpasukan.

“Kembali ke padang, kembali bermain bolasepak merupakan minat saya yang begitu mendalam.”

Selain Shahrel Fikri dan Brendan yang baru kembali, beberapa pemain masih belum dilihat menyertai pasukan. Mukhairi Ajmal, Khairulazhan Khalid, Safuwan Baharudin dan Quentin Cheng merupakan empat lagi pemain yang menyertai Piala AFF tempoh hari dan masih dalam tempoh bercuti, sementara penyerang baru Caion telah dilihat berlepas ke Malaysia, manakala pasangan pasukan kebangsaan Jordan Yazan Al-Arab dan Baha’ Abdelrahman masih dalam tempoh kuarantin sesudah tiba ke Malaysia selesai mewakili pasukan kebangsaan mereka dalam Piala Arab baru-baru ini.

Namun perlu juga dipuji dedikasi seorang lagi pemain yang menyertai Piala AFF, iaitu bintang Myanmar Hein Htet Aung, yang telah menyertai latihan pra-musim Selangor FC dari hari pertama lagi, minggu lalu.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.