Shahrel Fikri sasarkan tempat

Eky sasarkan tempat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya

Empat orang bintang Selangor FC kini sedang menyertai latihan berpusat dan pemilihan bagi kempen Kejuaraan AFF 2020 pasukan kebangsaan Malaysia yang bakal bermula hujung minggu ini. Salah seorang dari mereka, penyerang Shahrel Fikri sasarkan tempat dalam skuad akhir dan seterusnya dapat kembali beraksi dalam kesebelasan utama.

Kredit foto Malaysian Football League

Harimau Malaya kini sedang berlatih di Wisma FAM, Kelana Jaya menjelang sepak mula kejohanan dua tahun sekali ini, dengan edisi kali ini dilangsungkan di Singapura.

Shahrel Fikri yang turut dikenali sebagai Eky di kalangan rakan-rakan sepasukan kini berpeluang kembali dalam skuad pimpinan Tan Cheng Hoe buat kali pertama sejak 2019. Malaysia tidak beraksi tahun lalu akibat penularan wabak Covid-19, manakala Shahrel terlepas aksi-aksi tahun ini kerana dilanda kecederaan bersama Gergasi Merah.

Namun dia berjaya kembali pulih lebih awal dari jangkaan dan sempat membantu layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia baru-baru ini.

Apabila ditanyakan penulis bagi pihak jabatan media kelab, penyerang berusia 27 tahun ini berterima kasih mendapat kepercayaan untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih pada barisan kejurulatihan kerana masih memberi saya peluang untuk kembali ke skuad kebangsaan. Walaupun belum dimuktamadkan lagi senarai 24 pemain ke peringkat akhir, saya rasa semua pemain berhak diberi peluang untuk bersama skuad kebangsaan.

“Persembahan saya sendiri selepas pulih sebenarnya belum di tahap yang terbaik bagi diri saya sendiri. Saya memang dah cergas sepenuhnya, cuma untuk capai ke tahap sebelum ini perlu mengambil masa sedikit lagi,” jawab bekas pemain PKNP FC dan Perak ini.

Kini beliau bukan sahaja mahu mendapat tempat dalam skuad, tetapi juga kembali dalam kesebelasan utama untuk membawa Malaysia ke perlawanan akhir.

“Jika tersenarai, sasaran individu sudah pastinya saya ingin beraksi dalam kesebelasan utama. Walaupun sukar kerana saya tidak cukup minit permainan dan baru pulih, ini tidak patahkan semangat saya untuk berusaha memasuki kesebelasan utama.

“Peluang pasukan kebangsaan bagi saya mampu utk sampai ke ‘final’. Sudah pasti setiap pemain akan berikan yang terbaik untuk Malaysia,” ujarnya.

Usaha Shahrel Fikri sasarkan tempat dalam skuad dan kesebelasan utama dilihat semakin cerah apabila Cheng Hoe baru-baru ini menyatakan yang penyerang Petaling Jaya City, Darren Lok terpaksa diketepikan akibat kecederaan semasa latihan.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.