Shahrel Fikri mahu nasib

Eky kembali awal untuk bantu Selangor

Setelah Ahad lalu mengutip gol peribadi keduanya untuk Gergasi Merah, dia membuat satu pendedahan. Biarpun belum sedia 100 peratus, Sharel Fikri kembali awal bagi membantu pasukan dalam saingan Piala Malaysia.

Kredit foto Selangor FC

Mungkin agak pelik kedengaran bahawa penyerang Malaysia yang telah menyertai Selangor FC di awal musim baru menjaringkan dua gol sepanjang tahun. Namun hakikatnya, dia tercedera pada bulan Mei lalu, dipaksa berehat panjang dan pada mulanya dijangka hanya dapat kembali beraksi pada musim depan.

Tetapi disebabkan Piala Malaysia berehat panjang selama sebulan bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa, pemain yang turut dikenali dengan jolokan Eky sempat pulih dan kembali beraksi dalam baki saingan pertandingan ini.

Setakat ini dia hanya bermain sebagai pemain gantian separuh masa kedua dalam perlawanan-perlawanan menentang Kuching City dan Terengganu FC, tetapi dalam aksi terbarunya, dalam kekalahan 3-1 menentang Sang Penyu Ahad lalu, beliau dilihat kembali menemui ketajaman.

Kemasukannya dan cubaan-cubaan yang dilakukannya mengubah corak serangan anak-anak buah Karsten Neitzel lebih agresif, dan walaupun dia tidak berjaya membantu membawa kemenangan buat pasukan tuan rumah, Shahrel berjaya melakukan jaringan di penghujung perlawanan. Di sebalik kekalahan ini, ia merupakan petanda baik buat Gergasi Merah yang akan mengharungi saingan kalah mati.

Namun keputusan Sharel Fikri kembali awal ini beraksi sedikit berisiko, jelasnya sendiri kepada Malaysian Football League (MFL).

“Setakat ini apabila diberi tanggungjawab saya rasa tidak mustahil untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol dan Alhamdulillah malam ini (Ahad) saya berjaya menjaringkan gol.

“Saya rasa macam terlalu cepat juga masuk padang sebab sasaran sebenarnya untuk mula balik musim depan, tetapi selepas proses pemulihan berjalan lancar, saya dapat beraksi semula untuk musim ini, cuma kena kerja lebih keras lagi untuk tahun depan.

“Kaki saya dah pulih sepenuhnya, cuma hanya mental dan fizikal sahaja kena lebih kuat dan nak bermain 90 minit sepenuhnya memang agak sukar, tetapi saya akan cuba perlahan-lahan untuk mungkin masuk di separuh masa kedua terlebih dahulu,” ujar beliau selepas perlawanan.

Karsten pula menyatakan hasrat untuk meletakkan tanggungjawab yang lebih besar di bahu Shahrel, menjelang saingan peringkat kalah mati.

“Saya ada berbincang dengan Eky minggu ini (minggu lalu) untuk memanjangkan masa permainan beliau, dan katanya dia okey untuk bermain selama 45 minit. Harapnya dia akan dapat bermain lebih lama selepas ini.”

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.