Sharul Nazeem Zulpakar

Selangor tanpa Afro berdepan Melaka

Selangor FC bakal melayani kunjungan Melaka United dalam pertembungan Liga Super mereka tanpa penglibatan pemain ‘centreback’ Sharul Nazeem Zulpakar, pada Sabtu, 28 Ogos.

Pertembungan minggu ke-20 liga ini merupakan perlawanan wajib menang buat anak-anak buah Karsten Neitzel, bagi mencerahkan peluang mereka menamatkan saingan liga di tangga kedua, dan seterusnya layak ke Piala AFC 2022.

Baca juga ‘preview‘ perlawanan ini, artikel tumpuan dan temubual dengan Karsten.

Namun tugas berdepan dengan pasukan yang kerap mengejutkan Selangor ini dilihat semakin sulit dengan ketiadaan pemain berusia 21 tahun itu, yang turut dikenali dengan nama jolokan ‘Afro’. Sharul akan menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengutip kad kuning semasa kemenangan 3-0 Merah Kuning ke atas Perak FC minggu lalu, seperti yang dijelaskan oleh kelab di laman sesawang mereka.

Biarpun Sharul Nazeem merupakan bakat yang sedang menyinar dalam musim pertamanya di liga teratas Malaysia dengan 12 penampilan dan satu gol, beliau dilihat perlu lebih berhati-hati. Musim ini saja dia sudah digantung dua kali, dengan kali pertama ia berlaku dalam perlawanan menentang Sri Pahang di Kuantan, pada bulan Mei. Dengan perlawanan berbaki hanya beberapa detik dan Selangor sedang mendahului 2-1, dia melakukan bentesan yang tergesa-gesa yang seterusnya menyebabkan dia dilayangkan kad kuning kedua. Lebih memburukkan keadaan, sepakan percuma yang diberikan kepada tuan rumah menghasilkan gol penyamaan.

Akan tetapi, Karsten mungkin dapat menarik nafas lega dengan kepulangan pemain pertahanan asal Singapura, Safuwan Baharudin selepas pulih dari kecederaan, dan Safuwan pastinya akan dipilih menggantikan tempat Sharul dalam kesebelasan utama. Di samping itu, pemain tengah Aliff Haiqal Lau juga sudah pulih dari kecederaannya dan bersedia untuk kembali beraksi.

Pengendali dari Jerman itu turut menekankan kepentingan untuk fokus terhadap tiga perlawanan terakhir mereka.

“Para pemain berada dalam motivasi yang sangat baik dan saya sangat gembira dengan persembahan yang mereka lakukan di atas padang walaupun banyak yang perlu diperbaiki. Tetapi, mereka telah lakukan sehabis baik untuk meneruskan momentum kemenangan baru-baru ini.”

“Selain itu, barisan jurulatih juga telah membuat persiapan untuk pemain memperbaiki kelemahan dan kesilapan yang dilakukan pada perlawanan sebelum ini. Saya yakin kita akan dapat perbaiki aspek-aspek tersebut dengan masa yang ada,” tambah Coach Karsten.

“Paling penting adalah untuk fokus dengan kemajuan pasukan dan diri mereka sendiri (pemain). Bagi saya jika kita mampu memenangi perlawanan sebelum ini maka tidak mustahil untuk mendapat kemenangan untuk aksi seterusnya.”

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.