Perpindahan Syahmi Safari

Dari empat tinggal dua setelah kecederaan saat akhir menimpa

Malang menimpa dua pemain Selangor FC, dan juga pasukan kebangsaan, apabila mereka terpaksa diketepikan di saat-saat akhir dari pasukan Harimau Malaya. Sharul Nazeem dan Syahmi Safari, kedua-duanya pemain pertahanan, disahkan tercedera dan tidak dapat berlepas bersama-sama pasukan kebangsaan bagi dua perlawanan persahabatan akan datang.

Kredit foto Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Pengumuman ini dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada petang Jumaat, 1 Oktober.

Pada hujung minggu lalu, mereka berdua bersama penjaga gol Khairulazhan Khalid dan pemain serangan Mukhairi Ajmal dinamakan dalam senarai pemain-pemain yang akan dibawa ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe ke Jordan. Di sana, Harimau Malaya dijadualkan akan berhadapan dengan Jordan pada 6 Oktober dan Uzbekistan tiga hari berikutnya.

Namun nasib tak baik menimpa mereka ini, terutamanya Sharul Nazeem, bilamana ini merupakan seruan kebangsaan peringkat senior pertama dalam kerjaya ‘centre back’ berusia 21 tahun ini (dan juga Mukhairi Ajmal). Dia tercedera sebaik sebelum permulaan saingan Piala Malaysia, dan terlepas dua perlawanan pertama Gergasi Merah.

Syahmi Safari pula tercedera dalam separuh masa pertama perlawanan menentang Terengganu FC pada Rabu lalu, dengan pertemuan itu berakhir dengan kekalahan 2-1 buat Selangor.

Seperti yang diketahui, skuad Merah Kuning dilanda krisis kecederaan yang ketara musim ini.

Malang juga buat Cheng Hoe, apabila pemain Terengganu yang dipanggil sebagai pengganti Syahmi, Shahrul Nizam Ros Hasni dilaporkan tidak muncul pada hari pertama latihan pusat pada Jumaat. Dengan tempat Nazeem tidak digantikan sesiapa, bekas bos Kedah itu hanya dapat membawa 22 orang pemain ke Jordan, kurang dua dari perancangan asal.

Pada masa yang sama, 10 pemain muda Selangor telah dipanggil menyertai fasa kedua latihan berpusat pasukan Malaysia B-23 yang akan bermula pada Isnin, 4 Oktober nanti. Namun begitu, telah timbul ura-ura yang kelab tidak mahu melepaskan mereka menyertai kem ini.

Kami di Merah Kuning 24/7 mengucapkan semoga cepat sembuh kepada Sharul Nazeem dan Syahmi Safari dan dapat kembali membantu Selangor dalam Piala Malaysia. Sudah tentu aksi cemerlang dalam edisi tahun keseratus kejohanan ini nanti akan dibalas dengan panggilan pasukan kebangsaan yang seterusnya, bagi Kejuaraan AFF 2020 pada bulan Disember akan datang.

Follow laman Facebook kami!

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.