Sharul Nazeem Malaysia

EKSKLUSIF: Panggilan Harimau Malaya ubati kecewa Sharul Nazeem

Senarai kem latihan pasukan Harimau Malaya yang baru dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia pada Khamis, 23 September menyaksikan enam muka baru turut tersenarai. Bagi pemain pertahanan muda Selangor FC Sharul Nazeem, Malaysia kini memerlukan khidmatnya, di samping Mukhairi Ajmal.

Kredit foto utama Selangor FC

Setelah mencuri perhatian menerusi aksi musim pertamanya dalam Liga Super tahun ini, yang menghasilkan 14 penampilan dan satu gol, pemain yang turut dikenali dengan jolokan ‘Afro’ ini kini mendapat peluang beraksi di peringkat lebih tinggi pula. Dia akan bersama-sama pasukan senior Malaysia bagi dua perlawanan persahabatan pada bulan Oktober.

Merah Kuning 24/7 juga merasa bertuah yang temuramah ekslusif pertama laman ini adalah bersama Sharul, di satu detik gembira dalam kerjaya pemain muda ini. Kami akan bawakan lebih banyak temuramah-temuramah ekslusif dengan bintang-bintang dan pegawai Selangor FC pada masa akan datang.

Dalam perbualan dengan penulis pada hari Jumaat, pemain yang berusia 21 tahun ini menyatakan yang panggilan dari ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe ini datang lebih awal dari sasaran sebenarnya.

“Sasaran saya [mendapat panggilan pasukan senior Malaysia] sebenarnya tahun depan atau tahun satu lagi. Saya tak jangka dapat tahun ni, kalau dah rezeki tak boleh nak kata apa-apa. Sudah pasti saya amat ‘happy’ tersenarai sebagai salah seorang 24 pemain Harimau Malaya. Saya jangka tahun ni saya hanya dapat panggilan [Malaysia] B-23, tapi peluang pasukan senior yang sampai.

“Mulanya saya agak kecewa bila dapat tahu yang pasukan B-23 hanya menyenaraikan pemain-pemain 20 tahun ke bawah, sebab saya tak sangka dapat ‘call-up’ senior. Jadi saya terkejut dan gembira bila mendapat panggilan pasukan senior,” jelasnya.

Namun panggilan ini hanyalah langkah pertama, dan Sharul sudah ada sasaran beliau dalam kem latihan akan datang.

“Saya nak bermain, dan mendapatkan ‘caps’ [senior] Malaysia. Sebelum ini pun saya pernah bermain untuk pasukan B-23 di bawah Datuk Ong Kim Swee, dalam Newspaper Cup 2018 di Vietnam.”

Sebagai salah seorang pemain bertaraf muda yang mendapat perhatian dalam saingan Liga Super tahun ini, pemain dari Gombak ini menyifatkan yang kemajuan yang ditunjukkannya adalah hasil tunjuk ajar pemain-pemain senior.

“Saya diajar macam mana nak bermain, tafsiran taktikal ‘coach’, mereka akan kata pada saya samaada ‘tahan dulu’ atau ‘push’. Saya banyak bermain dengan Safuwan [Baharudin] yang banyak pimpin saya dari segi pergi kejar bola atau tidak. Dia banyak beritahu saya. Itu dari segi bertahan. Kalau di atas, Brendan Gan yang banyak mengajar dan memupuk keyakinan dan motivasi saya.

“Dari dulu pun saya banyak bermain dengan pemain-pemain kategori berumur dalam Liga FAS dengan NPNG FC. Kalau bermain melawan pemain berpengalaman, pemain-pemain muda tak boleh terlalu takut. Kalau sepasukan, kami perlu belajar dari mereka. Itu paling penting bagi saya,” jelas Sharul yang mengakui bercita-cita untuk berkelana di luar negara di masa akan datang.

Namun bagi Sharul Nazeem, Malaysia akan mendapat sepenuh perhatiannya sebaik sahaja tanggungjawab bersama kelab diselesaikan. Ahad ini Gergasi Merah akan memulakan kempen Piala Malaysia bertemu Perak FC, dan seterusnya Terengganu FC minggu hadapan, sebelum kem Harimau Malaya bermula.

“Kumpulan B memang sukar kerana adanya Terengganu, Perak dan mungkin Kuching [City]. Saya tak main dalam dua-dua perlawanan menentang Terengganu [dalam liga]. Insyaallah kalau dipilih, saya akan buat yang terbaik.”

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.