Kelantan FC, Kelantan United calon lawan Selangor dalam Kumpulan B Piala Malaysia

Siapa lawan ‘misteri’ Selangor dalam Piala Malaysia?

Piala Malaysia akan kembali lagi, setelah edisi 2020 dibatalkan akibat pandemik Covid-19. Undian edisi tahun ini, tahun keseratus pertandingan ini, telah menyaksikan Gergasi Merah diletakkan bersama-sama pasukan Terengganu FC, Perak FC, dan pasukan bukan pasukan simpanan tempat ketiga Liga Premier dalam Kumpulan B Piala Malaysia.

Kredit foto utama Malaysian Football League

Disebabkan pertandingan divisyen dua masih berbaki satu pusingan dan satu perlawanan tertunda, lima pasukan yang layak dari Liga Premier masih belum ditentukan. Yang sudah dipastikan hanyalah kelayakan Negeri Sembilan dan Sarawak, di mana penamat dua teratas liga sudah menjadi milik mereka secara mutlak (juara liga akan ditentukan dalam pusingan terakhir nanti). Baki tiga tempat lagi akan direbut di antara empat kelab, dan salah satu dari mereka akan menjadi lawan Merah Kuning dalam Kumpulan B.

Perlu dinyatakan yang agak janggal juga sebenarnya apabila undian dijalankan sewaktu kedudukan liga masih belum dimuktamadkan, tapi itulah liga Malaysia, apatah lagi dalam situasi pandemik yang entah bila akan tamat.

Berikut merupakan congakan kemungkinan pasukan yang akan menamatkan kempen Liga Perdana di tempat ketiga.

Tangga ketiga dan keempat liga sekarang didiami Terengganu II dan JDT II, tetapi pasukan simpanan Liga Super tidak layak menyertai Piala Malaysia dan Piala FA.

PDRM FC

Pasukan bukan pasukan simpanan di tempat ketiga pada masa ini adalah PDRM FC dengan 26 mata. Baki satu perlawanan mereka dilihat getir, kerana menentang Negeri yang mahu menamatkan saingan liga sebagai juara. ‘Abang-abang polis’ juga sebenarnya belum selamat melayakkan diri, kerana ada pasukan-pasukan di bawah mereka yang masih berbaki dua perlawanan, yang akan kita teliti di bawah nanti.

Pertembungan terakhir di antara PDRM dan Selangor berlangsung dalam musim 2020, musim terakhir mereka dalam divisyen satu, yang berakhir dengan PDRM dibantai 7-0 oleh Selangor. Namun begitu, kali terakhir mereka bertemu dalam Piala Malaysia adalah pada musim sebelumnya, dan PDRM yang ketika itu masih dibarisi pemain-pemain berstatus profesional berjaya mengekang Selangor dalam kedua-dua perlawanan.

Kuching City FC

Seterusnya adalah Selangor 2 di tangga keenam liga (sayang sekali Piala Cabaran musim ini ikut menjadi mangsa ‘kerja senang’), jadi pasukan bukan pasukan simpanan di tempat keempat adalah Kuching City. Mereka kini telah mengutip 24 mata, tetapi berbaki dua perlawanan. Mereka akan berhadapan pasukan yang sudah tersingkir Perak II (kerana penyingkiran pasukan utama Perak dari Liga Super), dan seterusnya satu lagi pasukan yang mengejar tempat Piala Malaysia, Kelantan United. Walaupun mereka tumpas kepada Terengganu II 2-0 pada Jumaat, 17 September, kemenangan dalam kedua-dua perlawanan akan datang akan memastikan mereka layak dari tempat ketiga, dan layak secara mutlak.

Kelab yang hanya mula bertanding dalam piramid bolasepak Malaysia ini pada tahun 2017 tidak pernah bertemu dengan Selangor.

Kelantan FC

Di tempat seterusnya adalah Kelantan FC, juga dengan 24 mata. Namun mereka hanya memiliki baki satu perlawanan, menentang Selangor 2. Walaupun mereka dilihat berpeluang cerah layak ke Piala Malaysia, hanya kemenangan sahaja yang betul-betul dapat menjamin tempat sebagai pasukan bukan pasukan simpanan ketiga.

Kali terakhir Selangor bertemu Kelantan adalah dalam Piala FA tahun 2019 dengan Merah Kuning membedil Pahlawan Merah 4-0. Dari empat perlawanan sebelum itu, tiga dimenangi Selangor dan satu Kelantan.

Kelantan United

Akhir sekali adalah pasukan yang dilihat hanya memiliki ‘outsider’s chance’ untuk layak, apatah lagi layak sebagai pasukan tempat ketiga, iaitu Kelantan United dengan 20 mata. Walaupun mereka ada baki dua perlawanan, kedua-duanya perlawanan yang getir; menentang Terengganu 2 dan seterusnya Kuching. Sekalipun mereka dapat mengutip enam mata penuh dari baki saingan, mereka masih perlu bergantung kepada keputusan perlawanan pasukan-pasukan di atas mereka.

Sama seperti situasi Kuching, United dan Selangor belum pernah berentap dalam mana-mana pertandingan.

Apa pendapat anda, penyokong setia Merah Kuning? Selepas undian bagi Kumpulan B Piala Malaysia diketahui, pasukan manakah yang anda ingin hadapi dari keempat-empat pasukan ini?

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.