Ujian Sikh Izhan diperjelas

Izhan dahulukan negara, tangguh ke Sepanyol

Penjaga gol muda Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel berkeputusan mengangguhkan dahulu hajatnya untuk berkelana ke Eropah, menurut wartawan Astro Arena Zulhelmi Zainal Azam.

Sebaik saja melakukan penampilan pertamanya di Liga Super dalam kemenangan Selangor FC 4-2 ke atas KDA FC minggu lalu, pendedahan dilakukan bahawa penjaga gawang berusia 19 tahun itu telah mendapat tawaran menjalani percubaan di sebuah kelab divisyen dua Sepanyol. Izhan mendapat debut itu apabila penjaga gol utama, Khairulazhan Khalid mengalami kecederaan saat akhir di Alor Setar. Sebelum itu, dia hanya bermain dengan skuad muda Gergasi Merah di Liga Premier.

Anak Pulau Pinang itu mendapat pengajaran berharga dari debutnya. Walaupun skuad Merah Kuning mengutip tiga mata menerusi kemenangan di Stadium Darul Aman, kedua-dua gol pasukan tuan rumah dijaringkan menerusi kesilapan beliau. Kpah Sherman dan Anumanthan Kumar dapat menjaringkan gol masing-masing pada separuh masa pertama apabila Izhan keluar kawasan terlalu jauh.

Menurut ‘tweet’ Zulhelmi, anak muda itu akan hanya menjalani percubaan itu pada hujung tahun nanti, disebabkan komitmennya bersama pasukan kebangsaan bawah umur.

Mungkin ada peminat Sikh Izhan yang kecewa dengan penangguhan ini, tetapi segala kemungkinan ini telah pun dijelaskan oleh ketua pegawai eksekutif kelab, Johan Kamal Hamidon apabila dihubungi Harian Metro awal minggu ini.

“Kami masih diperingkat perbincangan dengan ejennya dan masih belum ada keputusan muktamad lagi. Ada beberapa perkara kami kena ambil kira di mana dia juga masih ada baki saingan liga dengan pasukan.

“Selain, dia juga ada latihan dengan skuad negara (B-20), jadi saya kena hubungi Brad Maloney untuk bertanya adakah Sikh penjaga gol utamanya atau ada pilihan lain. Malah, dia juga kena jalani tempoh kuarantin yang lama dan tentunya kami masih perlukan khidmatnya,” jelas Johan.

Yang pastinya, penangguhan tersebut pasti akan memberikan Izhan lebih banyak peluang untuk beraksi di peringkat senior, sama ada di Liga Super ataupun di Liga Premier.

Baca juga: Feichtenbeiner mahu anak buah lebih tajam selepas seri dengan JDT II

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.