Sikh Izhan tamat ujian

Izhan mahu berlatih dengan Selangor setelah tamat ujian di Sepanyol

Menurut perkembangan terbaru, penjaga gol muda Selangor FC telah pulang ke Malaysia dari Sepanyol. Setelah Sikh Izhan tamat ujian dengan CF Fuenlabrada, dia kini pulang, menurut penjelasannya di laman Instagram.

Kredit foto Selangor FC

Penjaga gawang berusia 19 tahun ini telah berada bersama kelab divisyen dua Sepanyol ini selama seminggu bagi menjalani ujian percubaan.

Semasa masih dalam tempoh ujian, anak Pulau Pinang ini pernah berkata kepada Harian Metro:

“Setakat ini saya berlatih bersama pasukan kedua Fuenlabrada. Komen daripada jurulatih sangat memberangsangkan, berkemungkinan mereka mahu saya lebih lama di sini dan hal ini mungkin perlu di bincangkan kepada Selangor dan ejen saya,”

“Syukur Alhamdullilah, peluang yang diberi untuk menjalani sesi latihan bersama CF Fuenlabrada saya sangat teruja dan ini adalah impian saya untuk bermain dan berlatih di Eropah.

“Saya rasa di sini berbeza sedikit di Malaysia, kerana di sini intensiti mereka agak laju dan saya perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di sini,” jelas Izhan.

Graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) ini turut dikatakan melakukan perjalanan ini setelah mendapat sumbangan dana dari bekas orang kuat AMD dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang kini merupakan Menteri Kesihatan Malaysia.

Setelah Sikh Izhan tamat ujian, pada Isnin, 29 November, dia menyatakan di laman Instagramnya yang dia akan kembali ke pangkuan kelab.

“Ujian yang saya lalui selama seminggu telah tamat semalam. Saya percaya yang saya telah berikan yang terbaik, dan mahu berbincang mengenainya dengan lebih lanjut bersama kelab saya. Saya akan kembali berlatih di Selangor FC tak lama lagi.

“Berbanyak terima kasih kepada keluarga saya, Selangor FC, YB KJ (Khairy) dan Team Sapi Jabir BMDP,” tulis bekas penjaga gol Malaysia B-19 ini.

Izhan telah menyertai Gergasi Merah bersama ramai ‘rakan-rakan sekolah’ AMD setelah tamat pengajian, dan banyak mendapat peluang beraksi penjaga gol utama pasukan simpanan di Liga Premier. Musim ini dia berjaya mendapat penampilan pertama dengan pasukan utama, satu-satunya penampilan di peringkat Liga Super beliau buat masa ini.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.