Bintang muda Selangor panjangkan

Video: Solidariti dengan Brendan Gan – “This is for you!”

Walaupun sedang sibuk dengan persediaan Piala Malaysia 2021 yang bakal bermula hujung minggu ini, kapten pasukan Brendan Gan tidak dilupakan oleh warga Selangor FC, yang turut meluangkan masa menunjukkan solidariti dengan Brendan Gan.

Kredit foto utama Selangor FC

Seperti yang sudah diketahui ramai, Brendan kini sedang menjalani rawatan bagi barah testis yang dihadapinya. Dan bagi ramai penghidap kanser yang menjalani rawatan kemoterapi, salah satu kesan sampingannya adalah keguguran rambut yang menyebabkan mereka lebih selesa mencukur kepala sehingga licin.

Pemain Australia-Malaysia ini baru-baru ini turut mengambil keputusan untuk membotakkan kepalanya, dan kini dilihat berketerampilan ‘gondol’ dalam muatnaik-muatnaik beliau di media sosial.

Bagi memberi sokongan kepada pemain tengah ini, Selangor baru-baru ini memuatnaik satu video pendek yang memaparkan lima rakan sepasukan yang ikut mencukur rambut mereka. Mereka ini adalah penjaga gol Khairulazhan Khalid dan Tauffiq Ar Rasyid Johar, pertahanan tengah Ashmawi Yakin, pemain serangan Wan Zack Haikal dan Nor Hakim Hassan. Mereka malah dicukur rambut dalam bilik persalinan di pusat latihan kelab, FAS Training Centre.

Di penghujung video ini, mereka masing-masing memberikan ucapan semangat kepada Brendan: “This is for you,” “Get well soon,” “Miss you Ganny“, dan video itu diakhiri dengan tanda pagar #HEREWITHBRENDAN.

Di ruangan ‘story’ akaun Instagram beliau, turut terpapar gambar Brendan bersama beberapa orang staf jabatan media kelab, yang telah turut sama menggondolkan kepala mereka.

Di Instagram, pemain berusia 33 tahun yang memang terkenal dengan kekuatan mentalnya ini memberikan respon ringkas terhadap sokongan moral rakan-rakannya: “This makes me want to fight even more! Thank you my brothers!” (“Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk melawan! Terima kasih saudara-saudaraku!)

Bekas pemain dan kapten Selangor, Taylor Regan meninggalkan komen lucu di bawah video ini. “Anything for my brother. Tapi……. sudah” yang membawa maksud bahawa dia memang dari dahulu telah berambut pendek.

Ada penyokong-penyokong Selangor di luar sana yang ingin turut membotakkan kepala sebagai tanda solidariti dengan Brendan Gan?

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.