Selangor FC ketahui jadual

SOP kembali ke stadium uji kesetiaan penyokong Selangor

Akhirnya penyokong kelab-kelab Malaysia bakal dibenarkan kembali ke stadium, bermula dari minggu ketiga peringkat kumpulan Piala Malaysia hujung minggu ini. Namun begitu, kepulangan penyokong Selangor FC dan juga pasukan-pasukan lain ini belum dapat dijalankan dalam kadar sepenuhnya seperti sebelum penularan wabak Covid-19. Sebaliknya, syarat-syarat yang ditetapkan dilihat seperti SOP uji penyokong Selangor dan mencabar kecekalan, dari segi ketatnya ia.

Kredit foto Selangor FC

Seperti yang diketahui ramai, pengumuman kebenaran kemasukan penyokong yang dilakukan lebih awal oleh kerajaan dan Malaysian Football League (MFL) turut menyatakan yang hanya penyokong berusia 18 tahun ke atas dengan lengkap dos vaksin yang dibenarkan masuk ke stadium.

Namun menjelang perlawanan pertama di laman sendiri Selangor dengan kehadiran penyokong, menentang Kuching City pada 30 Oktober ini, beberapa lagi peraturan telah ditambah ke dalam tatacara operasi standard (SOP), seperti yang diumumkan kelab menerusi laman sosial mereka.

Selain dari keperluan berkenaan umur dan vaksinasi di atas, dan juga syarat setiasa memakai pelitup muka dan membawa kad pengenalan, penyokong-penyokong juga diingatkan bahawa makanan dan minuman tidak ada dijual di stadium, dan mereka tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman masuk, dan juga makan dan minum di dalam stadium.

Tambahan pula, walaupun penyokong yang beragama Islam dibenarkan untuk bersolat di stadium dengan mematuhi penjarakan sosial, mereka perlu mengambil wuduk sebelum masuk stadium. Menurut komen tambahan kelab, ini adalah selaras dengan “…SOP solat berjemaah di masjid, wuduk perlu diambil dari rumah.”

Peraturan ini sudah pasti kedengaran ketat dan sedikit melucukan, tetapi dapat difahami yang ia merupakan sebahagian dari langkah-langkah mencegah penularan Covid-19. Sedang situasi di seluruh negara kini kian bertambah baik, diharapkan yang kepatuhan penyokong-penyokong sukan nombor satu Malaysia ini terhadap SOP akan turut mempercepatkan kembalinya penyokong dengan kadar penuh dan SOP minimum.

Namun tidak dapat dinafikan yang syarat-syarat ini bakal menguji kesetiaan penyokong-penyokong Gergasi Merah, yang terpaksa berlapar dan dahaga semasa perlawanan sedang dimainkan (ditambah pula dengan harga tiket yang ‘keras‘ semasa tempoh pandemik). Mungkin kita harus bersantap dan minum sebelum tiba ke stadium (dan juga mengambil wuduk bagi yang beragama Islam), sebelum menjalankan tugas menyokong pasukan kesayangan.

Apa yang pasti, penyokong-penyokong yang hadir ke stadium dengan syarat-syarat ketat ibarat SOP uji penyokong Selangor ini layak mendabik dada sebagai penyokong setia Gergasi Merah. Dapatkan tiket anda di sini.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.