Stadium MBPJ

Masa depan Merah Kuning ada di Stadium MBPJ, bukan Stadium Shah Alam

Baru-baru ini, nama gelanggang rasmi Selangor FC, Stadium Shah Alam timbul kembali walaupun Gergasi Merah telah menggunakan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (Stadium MBPJ) sebagai ‘home ground’ sepanjang musim 2021.

Menurut laporan Metro, Stadium Shah Alam bakal mula menjalani kerja-kerja naik taraf pada tahun hadapan (walaupun ia telah ditutup sejak tahun 2020), dan bakal boleh digunakan semula pada penghujung tahun.

Sudah pastinya para penyokong Merah Kuning tidak sabar untuk kembali ke stadium yang siap dimiliki kerajaan negeri ini. Namun begitu, adakah kepulangan ke Shah Alam merupakan sesuatu yang bijak bagi Selangor FC?

Jika diteliti, dalam tempoh sedekad lalu, sekurang-kurangnya sudah tiga kerja membaikpulih perlu dijalankan ke atas stadium ini, dan tiap-tiap kali ia berlaku, pengurusan terpaksa bergegas mencari ‘home ground’ sementara. Dan perlu diingat, Stadium Shah Alam ini berusia hampir tiga dekad, kadang-kadang penyokong tersalah kentut semasa menonton perlawanan pun boleh menyebabkan kerosakan baru, yang kemudiannya memerlukan stadium ditutup untuk diperbaiki lagi.

Kos baikpulih pula bukannya kecil, disebabkan saiz dan juga teknologi binaannya. Pembaikan akan datang ini memerlukan RM350 juta. Sudah pasti lebih baik jika jumlah ini dibelanjakan kelab untuk tujuan lain.

Dan dari segi rekaan pula, sejujurnya Stadium Shah Alam bukanlah sebuah gelanggang bolasepak yang baik, walaupun ia merupakan stadium ‘multi-purpose’ yang baik. Sudahlah ada balapan, ada pula rumput di tepi balapan, parit, bahkan barisan-barisan tempat duduknya terlalu renggang dengan barisan depan, sudahnya ia mengganggu suasana dan atmosfera menyokong itu kerana penyokong jauh dari aksi di atas padang. Belum lagi dikira kena berjalan dari tempat letak kenderaan ke tempat duduk.

Kalau anda lihat, banyak stadium-stadium bolasepak baru di luar sana, terutamanya kelab-kelab yang tidak berbelanja sederhana, dibina dengan saiz dan kapasiti sedang-sedang, supaya penyokong dapat duduk rapat dengan padang dan menggalakkan suasana sokongan yang lebih hangat.

Sudah pasti Stadium MBPJ bersaiz lebih kecil, tapi ia sebenarnya sesuai untuk sebuah kelab yang sedang ‘buat balik’ seperti Selangor FC. Memandangkan penyokong pun masih malu-malu ke stadium, Gergasi Merah tidak perlu stadium berkapasiti 60,000. Tak terlalu ramai penonton diperlukan untuk membuat Stadium MBPJ yang berkapasiti 25,000 nampak penuh dan meriah pada hari perlawanan.

Kapasiti sedang-sedang ini juga penting sebenarnya bagi ‘memanaskan’ permintaan bagi tiket perlawanan. Jumlah tiket yang kurang jika perlawanan dijalankan di Stadium MBPJ akan menyebabkan penyokong berebut-rebut kerana takut kehabisan, berbanding jika perlawanan dimainkan di stadium berkapasiti besar.

Di samping itu, stadium ini mempunyai kelebihan dari segi lokasi. Bandar Petaling Jaya terletak lebih dekat dengan Kuala Lumpur berbanding Shah Alam, dan kawasan-kawasan sekelilingnya mempunyai lebih ramai penduduk. Lebih menarik lagi, kalau anda buka Google Maps dan kaji, anda dapat lihat yang Stadium MBPJ hampir ‘dikepung’ oleh empat lebuhraya; Lebuhraya Persekutuan, NKVE, LDP dan juga Elite. Penyokong-penyokong Selangor yang datang dari luar kawasan boleh tiba di Kelana Jaya dengan pantas.

Walaupun Selangor memang bercadang untuk kekal menggunakan Stadium MBPJ pada musim hadapan, ada baiknya jika mereka kekal di sana lebih lama lagi, setidak-tidaknya sehingga 2025.

Berikut merupakan cadangan-cadangan tambahan kepada Selangor berkenaan perancangan gelanggang rasmi mereka:

1) Kelab perlu berusaha mendapatkan hak penggunaan Stadium MBPJ secara eksklusif, supaya tidak perlu lagi berkongsi dengan Petaling Jaya City.

2) Penggunaan pengangkutan awam oleh penyokong untuk ke stadium pada hari perlawanan harus dipermudah dan digalakkan. Apatah lagi ahli lembaga pengarah kelab, Datuk Seri Shahril Mokhtar merupakan salah seorang ‘orang keretapi’ utama negara.

3) Sebarang perancangan untuk membina dan memiliki gelanggang sendiri mesti turut memberi pertimbangan terhadap suasana sokongan hari perlawanan bolasepak. Kapasiti ‘cukup-cukup’ (tak ada lagi mentaliti “tak apa, tiket banyak lagi”) dan tiada balapan supaya penyokong dapat dekat dengan aksi.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.