Selangor FC ketahui jadual

Stadium MBPJ pilihan selamat bagi musim 2022, jelas Johan

Dalam sebuah temubual ringkas dengan Astro Arena, ketua pegawai eksekutif (CEO) Selangor FC Johan Kamal Hamidon mengulangi pengesahan bahawa pasukan utama Merah Kuning akan kekal di Kelana Jaya musim depan. Ini kerana Stadium MBPJ pilihan selamat buat kelab dalam situasi semasa, jelasnya.

Akibat penutupan Stadium Shah Alam bagi kerja-kerja baikpulih, Selangor terpaksa menjadikan Stadium MBPJ sebagai gelanggang rasmi pasukan Liga Super mereka musim ini, berkongsinya dengan sebuah lagi kelab divisyen satu, Petaling Jaya City.

Dalam temubual ini, Johan mengakui yang beliau gembira bahawa kelab telah mendapat lesen pertandingan kebangsaan dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022, dan mengulangi bahawa perkongsian gelanggang ini akan diteruskan pada musim depan.

“Alhamdulillah, tiada isu dengan permohonan lesen kami, jadi semuanya berjalan lancar bagi persediaan musim 2022.

“Stadium MBPJ jadi pilihan kami kerana kami tak mahu mengambil risiko. Jadi kami tetapkan yang persiapan untuk musim depan adalah di sini kerana kami tak mahu buat kerja di saat akhir.

“Stadium ini adalah ‘venue’ yang agak baik di lokasi yang strategik. Kami, Petaling Jaya City dan pihak MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) telah bekerjasama menaiktaraf infrastruktur-infrastruktur seperti padang,” jelas pegawai pasukan ini.

Tahniah kepada kelab kerana membuat keputusan untuk kekal di gelanggang ini. Merah Kuning 24/7 memang menggemari Stadium MBPJ seperti yang pernah kami nyatakan dahulu, disebabkan lokasi dan saiznya. Tambahan pula kerja-kerja baikpulih Stadium Shah Alam dilihat telah ‘tersadai’ dalam tempoh Covid-19, yang pastinya menjadikan ia tidak boleh diharapkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Penularan Covid-19 di Malaysia juga kelihatan belum lagi selesai di sebalik ada penurunan dalam jumlah kes-kes baru harian, yang bermakna masih ada kemungkinan perlawanan-perlawanan domestik akan kembali dijalankan tanpa penyokong. Sekiranya ini berlaku kembali, pastinya gelanggang bersaiz kecil merupakan pilihan yang tepat demi mengurangkan kos hari perlawanan, dan jelas mengapa Stadium MBPJ pilihan selamat.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.