Stadium Shah Alam tak

Stadium Shah Alam tak akan diroboh, bulan depan jadi penentuan

Biarpun sudah dua tahun tidak digunakan Selangor FC, Stadium Shah Alam tak tenggelam namanya hasil perbincangan ramai. Sepanjang minggu ini, ia kembali menjadi topik perbincangan. Namun lokasi perbincangan ini bukan di forum-forum atau ‘fanpage’ peminat, tetapi di Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan Selangor, di bibir-bibir Yang Berhormat.

Kredit foto Darul Ehsan Facilities Management

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail terlebih dahulu pada sidang DUN Selangor bertanyakan mengenai desas-desus yang stadium ini akan dirobohkan untuk digantikan dengan stadium yang lebih kecil, dengan kawasan persekitaran kemudiannya dibangunkan oleh pemaju perumahan.

Gelanggang ini telah ditutup mulai awal 2020 atas sebab bumbung yang bocor dan tidak selamat bagi penonton. Walaupun kerja-kerja pembaikan dilaporkan akan bermula pada tahun yang sama, setelah setahun lebih ia masih tidak berjalan. Semenjak itu, Gergasi Merah menggunakan Stadium UiTM dan kemudiannya MBPJ sebagai gelanggang rasmi.

“Apabila kita melalui bandar raya Shah Alam, jelas menunjukkan kedaifan keadaan struktur Stadium Shah alam yang benar-benar meruntun hati rakyat negeri Selangor.

“Saya ingin soalan ini dijawab dengan telus, sekiranya tidak benar, Alhamdulillah, sekiranya benar baik jangan diteruskan. Saya difahamkan kos baik pulih bumbung dan padang stadium serta lain-lain tambahan tanpa perlu merobohkan tidak pun sampai RM50 juta,” katanya seperti yang dipetik dari Free Malaysia Today.

Pada Khamis, 2 Disember, pertanyaan ini dinafikan oleh Khairuddin Othman, ahli majlis eksekutif Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan kerajaan negeri.

“Banyak desas-desus… Tetapi apa yang saya boleh nyatakan secara yakin yang sehingga kini, tiada kertas kerja berkenaan merobohkan Stadium Shah Alam. Stadium ini juga sedang ada dalam kajian Unit Projek Khas (UPK).

“Saya tahu yang stadium ini merupakan kebanggaan kita, saya harap UPK dapat memainkan peranan membangunkannya. Saya juga pernah ingatkan UPK bahawa perancangan adalah ‘bandar belia dan sukan’. Jadi [projek pembangunan ini] mesti ada elemen belia dan sukan,” jelas beliau dari rakaman SelangorTV.

Keesokannya, Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menambah perkembangan mengenai usaha membaikpulih stadium ini.

“Kita tak boleh tergesa-gesa membangunkannya kerana kawasannya seluas 80 ekar. Bukan sahaja melibatkan Stadium Shah Alam, tetapi juga stadium mini, stadium boling padang dan juga Stadium Malawati, digabungkan dengan elemen-elemen pembangunan, sesuai dengan kegetaran pembangunan yang berlaku di Seksyen 13 pada waktu ini.

“Kami dapat pelbagai tawaran, RM200 juta, 600 juta, 800 juta, tetapi ini bukannya satu-satu keperluan yang kami tetapkan. Kami juga nak lihat kemampuan kewangan untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai kawasan pembangunan. Kami juga mahu merujuk bagaimana Stadium Nasional Bukit Jalil dibina.

“Pada pandangan kerajaan negeri, saya lebih gemar melihat ia dibaikpulih. Namun kalau ada yang beri pilihan bina semula, kita akan lihat kosnya. Bulan satu [2022] nanti, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan buat keputusan dari 14 permohonan dan cadangan yang telah dibuat dari tahun 2013 lagi,” katanya, juga seperti yang dirakam SelangorTV.

Nampaknya Stadium Shah Alam tak akan dapat dikunjungi penyokong Selangor semula dalam tempoh terdekat.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.