Sukarelawan banjir diperlukan

Sukarelawan banjir diperlukan

Sebaik saja berita ini diterbitkan, pengumuman pencarian sukarelawan ditutup kerana slot penuh. Perkembangan baru akan diberikan mengenai pencarian fasa seterusnya, tetapi sumbangan wang masih boleh dilakukan.

Tragedi banjir yang menimpa beberapa kawasan Lembah Klang dan terutamanya negeri Selangor hujung minggu lalu telah surut dengan terhentinya hujan lebat, tetapi kerja-kerja menyelamat dan membersihkan kini bermula. Kini sukarelawan banjir diperlukan, di bawah panggilan yang dilakukan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Selangor FC dan komuniti belia Selangor Youth Community.

Sepanjang hujung minggu lalu, hujan lebat tidak henti-henti telah menyebabkan air naik di beberapa kawasan di Shah Alam, Klang, Puchong dan daerah-daerah Sepang dan Hulu Langat. Lebih memburukkan keadaan, pihak kerajaan Malaysia dilihat tidak menyampaikan bantuan dan operasi menyelamat kepada mangsa-mangsa yang terkandas, dan sehingga kini belum betul-betul diketahui jumlah mangsa yang terkesan dan kehilangan nyawa. Dilihat lebih ramai orang awam yang mengambil inisiatif mencari mangsa dan cuba membantu menerusi pengumpulan barang-barang keperluan dan juga bot-bot, manakala rumah-rumah ibadat dibuka bagi menempatkan mangsa tidak kira agama dan bangsa.

Dalam sebuah pengumuman pendek di media sosial, ketiga-tiga organisasi yang dipimpin Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin mencari pembantu-pembantu yang mampu menyumbang tenaga dalam kerja-kerja pembersihan.

“Pihak @FASelangorMY, @selangorfc dan @SelangorYouth mengambil inisiatif untuk membantu gerak kerja selepas bencana. Kami sedang mengumpul maklumat mereka yang terkesan beserta barangan-barangan keperluan dan memerlukan bantuan operasi pembersihan.

“Selain daripada itu, kami juga mengajak mereka yang sudi untuk menyumbangkan tenaga bantuan kepada pihak yang terjejas. Kerja-kerja pembersihan dan penghantaran bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Sertai group WhatsApp kami! https://bit.ly/FASFloodVolunteers. Diharap semua dapat kekal tenang dan kekal selamat.”

Di samping itu, Selangor FC menerusi cabang ‘corporate social responsibility’ kelab, RG Care juga ada membuka kutipan sumbangan wang dengan bantuan Global Sadaqah. Klik di sini untuk membuat sumbangan: https://globalsadaqah.com/my-floods21

Selain dari Selangor, beberapa negeri lain terutamanya di Pantai Timur Semenanjung Malaysia juga turut mengalami banjir dan memerlukan bantuan. Merah Kuning 24/7 mengucapkan takziah kepada semua mangsa, dan menyeru kepada semua pembaca kami dan penyokong Selangor untuk memberikan sumbangan wang dan tenaga kepada usaha-usaha ini.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.