Quentin mampu isi kekosongan

Wak lwn Q, persaingan tahun 2022?

Jika betul caranya, mungkin pada musim 2022 kita dapat lihat pertarungan yang sihat dalam skuad Selangor FC, iaitu Syahmi lwn Quentin.

Sebagai ‘ladang ubi’ tersubur Malaysia, Selangor FC kini mempunyai begitu ramai pemain yang sedang meningkat naik, sehinggakan ada yang terpaksa dipinjamkan ke pasukan lain musim ini. Salah seorang dari mereka adalah Quentin Cheng, pemain pertahanan kanan yang berasal dari Sutherland Shire, Australia yang juga merupakan kampung halaman kapten pasukan, Branden Gan (Mereka turut berlatih di akademi yang sama!).

Quentin yang turut layak mewakili Malaysia bermain dengan baik buat Selangor 2 pada musim 2020, tetapi dipinjamkan ke pendatang baru Liga Super Penang FC buat musim ini, mungkin dengan tujuan memberikannya pengalaman beraksi di divisyen satu. Dia juga mengakui tak sabar-sabar untuk mendapat peluang untuk beraksi di liga atas.

Walaupun baru berusia 21 tahun, pemain yang dikenali dengan nama samaran ringkas ‘Q’ ini dilihat menjadi salah satu watak penting skuad bimbingan Tomáš Trucha, dengan 20 penampilan dalam kesebelasan utama dari 20 perlawanan liga. Dia juga merupakan pemain dengan minit permainan terbanyak skuad Harimau Kumbang buat musim ini. Lebih menarik, Penang kini berada di atas Selangor dalam carta liga, di tangga keempat, dengan dibezakan empat mata.

Sumbangan Q bukan sekadar dari minit penampilan, malahan dia telah menyumbangkan lima bantuan gol atau ‘assist’ sepanjang liga, satu statistik yang pastinya menjemput perbandingan dengan seorang lagi ‘right back’ Malaysia-Australia, Matthew Davies di JDT.

Sudah tentu penyokong-penyokong Merah Kuning kini mahu Q dipanggil pulang apabila musim tamat (dan kontraknya diperpanjangkan jika hampir tamat).

Namun untuk terus mendapat tempat dalam kesebelasan utama pastinya bukan tugas mudah buatnya, apabila dia pasti terpaksa bersaing dengan Syahmi Safari. Syahmi atau lebih dikenali sebagai ‘Wak’ sudah melakukan 19 penampilan musim ini dan telah menjadi pilihan pertama bagi posisi ini sejak usia 19 tahun lagi.

Jika dibandingkan pula, di Penang Q keseluruhannya berfungsi sebagai ‘wingback’, sedangkan bos Gergasi Merah Karsten Neitzel dilihat jarang menyuruh kedua-dua ‘fullback’ naik tinggi.

Di samping itu, jika Q handal melakukan bantuan, Syahmi dilihat memiliki kelebihan tersendiri, dari segi menjaringkan gol. Musim ini dia baru mendapat satu jaringan (lagi sekali, Karsten jarang menggunakan ‘wingback’), tetapi pada musim-musim lalu nama Wak sinonim dengan gol-gol cantik. Siapa boleh lupa jaringannya semasa bermain untuk Harimau Malaya menentang Thailand dalam Kejuaraan AFF 2018?

Pengurusan kelab kini harus memastikan yang kedua-dua pemain ini berada dalam skuad pada 2022, bagi memperkuatkan lagi barisan pertahanan Gergasi Merah. Persaingan Syahmi lwn Quentin ini pasti akan memperbaiki skuad Merah Kuning.

Baca juga: Ayuh pergi Asia, bossku! Rangkul Piala Malaysia 2021!

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.