Team Card 2022 Selangor FC

Team Card 2022 ada mata ganjaran, namun tiada diskaun tiket

Seperti musim sebelum-sebelum ini, Red Giants Team Card (Kad Keahlian) telah dilancarkan dahulu. Team Card 2022 Selangor FC telah diumumkan pada Isnin, 10 Januari, dengan beberapa perubahan menarik dilihat.

Kredit foto Selangor FC

Sama seperti edisi musim-musim lalu, kad keahlian musim ini menawarkan diskaun 10 peratus bagi barangan rasmi Selangor FC di kedai rasmi Red Giants, dan juga diskaun di lebih 20 rakan rasmi kelab.

Apa yang menariknya, Team Card musim ini memperkenalkan dua kelebihan baru, iaitu program mata ganjaran dan juga program perujuk atau ‘referral’.

Pemilik Team Card 2022 Selangor layak mendapat satu mata ganjaran bagi setiap Ringgit pembelian di kedai rasmi (fizikal atau dalam talian) Red Giants, dan mata yang dikumpul boleh ditebus bagi pembelian seterusnya. Malah rakan-rakan rasmi Team Card juga ada menayangkan kod QR khas di premis-premis mereka yang boleh diimbas pemegang kad untuk mendapat 10 mata percuma.

Manakala dalam program perujuk, pemegang-pemegang Team Card 2022 boleh mendapat RM5 tunai bagi setiap pemegang baru Team Card yang mereka dapat pujuk. Apabila pendaftaran Team Card 2022 selesai dijalankan, setiap pemegang akan diberi satu ‘referral link’ yang boleh mereka kongsikan kepada rakan-rakan yang mahu mendaftar keahlian baru. Namun ganjaran tunai ini hanya dapat dikeluarkan apabila ganjaran terkumpul mencecah RM50.

Dari pengumuman terbaru ini, jelas yang Red Giants Team Card 2022 juga berfungsi sebagai kad mata ganjaran yang banyak ditawarkan di luar sana.

Namun sedikit pelik apabila satu kelebihan memiliki Team Card ini dilihat sudah tiada, iaitu diskaun pembelian tiket perlawanan yang ditawarkan menerusi kad keahlian edisi-edisi lalu. Mungkin ini strategi kelab untuk menggalakkan lagi penjualan pas bermusim 2022, yang dijangka akan menyusul tidak lama lagi.

Jika dibandingkan lagi, kad fizikal tahun ini sedikit tewas berbanding kad-kad dua tahun lalu, kerana kad musim 2020 merupakan kad Touch ‘n Go yang boleh diguna membayar tol dan letak kereta, manakala kad 2021 mempamerkan corak rekaan yang sangat kreatif.

Namun ini bukan bermakna kami tidak mengesyorkan kad baru ini yang membawa kelebihan-kelebihan baru, apatah lagi tidak seperti Team Card 2021, pemegang keahlian sedia ada yang memperbaharui keahlian masih akan menerima kad baru. Bukan saja mendapat kad baru, malah ahli sedia ada turut mendapat diskaun RM5 bagi pembaharuan keahlian. Keahlian baru didaftarkan dengan kos RM25 (tidak termasuk RM10 caj penghantaran) manakala kos pembaharuan keahlian hanya RM20 (tidak termasuk RM10 caj penghantaran).

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.