Preview KLC lwn Selangor

Karsten tidak gembira dengan penamat tempat kelima Liga Super

Biarpun telah berjanji yang pasukannya akan bermain bermati-matian dalam perlawanan terakhir Liga Super 2021 mereka, anak-anak buah Karsten Neitzel sebaliknya tumpas longlai 2-1 kepada Petaling Jaya City pada Ahad. Selangor FC hanya berjaya menamatkan kempen liga di tempat kelima berikutan kekalahan ini.

Kredit foto utama Selangor FC

Walaupun Selangor sebelum itu telah melalui enam perlawanan berturut-turut tanpa kalah dengan lima kemenangan, dan membenam Sabah FC 6-0 dalam minggu sebelumnya, skuad Merah Kuning ibarat bermain tanpa tujuan di Stadium MBPJ pada Ahad. Ketiadaan pemain tengah Oliver Buff amat dirasai, dan mereka bernasib baik hanya kalah tipis kepada pasukan kendalian Maniam Pachaiappan. Lebih memburukkan keadaan, kapten pasukan Syahmi Safari diperintah keluar padang di penghujung perlawanan kerana melakukan ‘foul’.

Karsten kelihatan sukar untuk memberi jawapan mengenai persembahan buruk anak buahnya apabila ditanyakan Merah Kuning 24/7 dalam sidang media pasca-perlawanan.

Baca juga: Apa yang kita lihat dalam pertemuan Selangor-PJ City

“Bagi saya, malam ini pasukan saya sudah bersedia dan memberikan tumpuan, tetapi [tiada] peratusan terakhir. Tidak banyak peluang menjaringkan gol dan itu sebabnya kami kalah.

“Inilah bolasepak. Kita harus menghormati lawan. Komitmen ada. Masalahnya adalah penyelesaian yang diambil pemain-pemain di atas padang, dan kualiti semasa bermain. Bukan kualiti mereka secara umum kerana mereka semua ada kualiti untuk bermain dalam kesebelasan utama. Ada satu, dua pemain yang seharusnya lebih kreatif di bahagian tengah padang.

“Pasukan saya bermain baik selepas liga berhenti pada bulan Mei. Keputusan hari ini mengecewakan, tetapi pemain-pemain telah berikan komitmen dan kami mahu menang sekaligus naik ke tangga keempat.

“Pemain-pemain saya tidak mampu menekan lawan terutamanya dalam separuh masa pertama dan ini yang perlu kami betulkan sebelum Piala Malaysia nanti,” jelas pengendali dari Jerman ini.

Apabila ditanya samaada penamat di tempat kelima ini memuaskan hatinya, Karsten menidakkannya.

“Saya tak boleh kata saya gembira dengan penamat di tempat kelima ini,” jawabnya. “Saya memerlukan beberapa hari untuk melihat semula keseluruhan persembahan kami musim ini, tapi kami mungkin telah mencicirkan enam, tujuh mata.

“Ini akibat melepaskan gol-gol dari situasi gerak terancang terutamanya di minit-minit akhir perlawanan. Kami harus menganalisis dan seterusnya menyimpulkan prestasi dalam liga bagi persiapan Piala Malaysia.”

Selepas menamatkan saingan di tangga kelima Liga Super, skuad Merah Kuning akan diundi dalam Piala Malaysia edisi tahun keseratus dari balang kedua.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.