Naturalisasi Hein Htet Aung

Nafuzi akui ancaman Selangor bagi slot Asia

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui yang kelabnya masih belum selamat dalam persaingan merebut tempat kedua Liga Super dan slot ke Piala AFC 2022.

Dengan JDT kini di tempat pertama dan sukar dicabar, masih tinggal persaingan bagi slot pertandingan peringkat benua ini. Pasukan yang berjaya menamatkan saingan di tangga kedua liga akan mendapat slot automatik ke peringkat kumpulan pertandingan peringkat benua ini.

Pesaing-pesaing yang mungkin bagi slot ini adalah Terengganu (37 mata), Kedah Darul Aman (KDA, 35) Penang FC (34), Selangor FC (32) dan juga Kuala Lumpur City (KLC, 27). Kesemua pasukan ini berbaki tiga lagi perlawanan kecuali Kedah dengan lima.

Dalam temubual bersama penganjur liga Malaysian Football League (MFL), bos skuad Penyu itu menyatakan keperluan supaya anak-anak buahnya kekal fokus terhadap saingan di peringkat penghabisan liga.

“Bagi saya, perebutan untuk tempat kedua liga bukan hanya membabitkan Terengganu dan Kedah, tetapi Selangor, Penang dan Kuala Lumpur juga perlu diberi perhatian.

“Kalau pasukan saya buat sebarang kesilapan, bila-bila masa sahaja pasukan lawan boleh mengatasi Terengganu dan sebab itu saya katakan kepada pemain untuk anggap setiap perlawanan selepas ini ibarat aksi final yang perlu kita menang.

“Menentang Kuala Lumpur pada hari Ahad ini, tidak banyak perubahan yang dilakukan dan saya positif dengan semua pemain yang ada walaupun kita terpaksa terima kehilangan kapten, Carli de Murga”, jelas pengendali berusia 42 tahun ini, dipetik dari laman sesawang MFL.

Persaingan bagi merebut tempat kedua ini pastinya bakal menghidangkan pertembungan-pertembungan sengit dalam tempoh dua minggu ini. Walaupun selesa dari segi pungutan mata, Terengganu menghadapi deretan perlawanan yang dilihat paling sukar; KLC, JDT dan Penang. KDA pula bakal berhadapan KLC sebagai pertembungan penting. KLC juga perlu menentang JDT selain Terengganu dan KDA.

Walaupun Gergasi Merah perlu bergantung kepada keputusan-keputusan pasukan lain bagi meloloskan diri ke Asia, mereka dilihat mempunyai baki jadual yang paling selesa; berhadapan Melaka United, Sabah FC dan Petaling Jaya City.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.