Ifedayo Olusegun dan Sharul Nazeem dipilih dalam kesebelasan terbaik liga 2021

Tiga pemain Selangor dipilih kesebelasan terbaik Liga Super 2021

Kekalahan longlai 2-1 kepada Petaling Jaya (PJ) City pada Ahad pasti bukanlah penamat saingan Liga Super 2021 yang dimahukan Selangor FC. Tetapi Gergasi Merah ada menunjukkan persembahan memberangsangkan di sepanjang musim, dan hakikat ini diperakui melalui pengumuman rasmi kesebelasan terbaik liga 2021.

Kredit foto Malaysian Football League

Di penghujung siaran langsung perlawanan Selangor-PJ City, hos siaran Hanif Miswan mengumumkan pilihan kesebelasan terbaik rasmi Liga Super yang dikeluarkan penganjur pertandingan-pertandingan Malaysia, Malaysian Football League (MFL).

Dari sebelas pemain ini, dua dari mereka bermain dengan Gergasi Merah musim ini, iaitu pemenang kasut emas liga 2021 Ifedayo Olusegun, dan juga pemain ‘centreback’ Sharul Nazeem Zulpakar. Sementara seorang lagi, Quentin Cheng merupakan pertahanan kanan Selangor yang dipinjamkan ke Penang FC musim ini.

Jaringan penaltinya semasa menentang PJ City membawa jumlah gol peribadi Ifedayo dalam liga musim ini kepada 26, yang turut merupakan jumlah gol individu terbanyak semusim dalam sejarah Liga Super. Anugerah kasut emasnya juga merupakan kasut emas tahun kedua berturut-turut, selepas turut merangkulnya pada musim 2020.

Ketiga-tiga pemain dari Selangor ini juga menyaksikan kombinasi menarik pemain muda dan senior. Jika Ifedayo dilihat berada di kemuncak prestasi pada usia 30 tahun, Sharul dan Quentin nampak boleh terbang lebih tinggi disebabkan usia mereka yang hanya 21 tahun. Ini juga merupakan musim pertama kedua-dua bekas pemain Selangor 2 ini dalam Liga Super.

Sharul yang turut dikenali sebagai ‘Afro’ disebabkan gaya rambut uniknya bukan merupakan ‘regular starter’ di awal musim ini, tetapi kecederaan yang menimpa pemain-pemain pertahanan yang lebih senior membolehkan beliau mendapat ruang bermain. Dia seterusnya menampilkan persembahan tenang untuk mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama, dan hasilnya berjaya mengutip 14 penampilan dan satu gol.

Sementara itu Quentin, yang dipinjamkan ke Sang Harimau Kumbang dari awal musim kerana laparkan aksi peringkat tertinggi, turut mengambil peluang beraksi di Penang. Yang menakjubkan, dia muncul pemain dengan jumlah minit permainan tertinggi dalam skuad kendalian Tomas Trucha, memulakan kesemua 22 perlawanan liga, bahkan melakukan sekurang-kurangnya lima bantuan gol. Lebih manis lagi, dia berjaya membantu Penang yang merupakan pendatang baru Liga Super menamatkan saingan di tempat ketiga, dan hampir-hampir berjaya lolos ke saingan Piala AFC 2022 sebagai naib juara liga.

Baca juga: Wak lwn Q, persaingan tahun 2022?

Lapan pemain dari pasukan lain dalam kesebelasan terbaik liga 2021 ini adalah Bergson da Silva, Arif Aiman, Corbin Ong, Farizal Marlias (JDT) Tchetche Kipre (Kedah DA), Paulo Josue (Kuala Lumpur City), Makan Konate (Terengganu FC) dan Rafael Vitor (Penang).

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.