Tim Heubach dahulunya penyerang

Tim dedah yang dia dahulunya penyerang

Malang buat pemain pertahanan Selangor FC, Tim Heubach yang hanya sempat bermain tujuh kali buat Gergasi Merah selepas menyertai mereka pada awal musim. Sambil kini menjalani pemulihan, pemain dari Jerman ini turut melakukan tugas-tugas promosi dan sosial untuk kelab. Baru-baru ini, dalam sebuah program bersama anak-anak sekolah, didedahkan yang Tim Heubach dahulunya penyerang, sebelum ditukar kepada pemain pertahanan.

Kredit foto Selangor FC

Perkara ini dijelaskan beliau sendiri, dalam sebuah program SFC Soccer Schools Digital Outreach bersama Asia Pacific International School. Dalam video yang disiarkan di laman Youtube kelab, dapat dilihat Tim menjawab soalan-soalan yang diajukan pelajar-pelajar sekolah ini.

Salah satu soalan ini berbunyi: “Kenapa awak ambil keputusan untuk bermain sebagai pemain pertahanan?”, yang disambut dengan ketawa oleh pemain berusia 33 tahun ini.

Namun dia menjawab yang peranan ini bukanlah pilihan pertamanya.

“Awak nak tahu? Sejujurnya saya mula bermain sebagai sayap kiri dan penyerang. Tapi bila bermain di peringkat yang lebih tinggi, kebolehan saya untuk bermain dengan baik di bahagian serangan atau sayap tak mencukupi.

“Jadi tahun demi tahun saya disuruh oleh jurulatih untuk bermain posisi lebih rendah, mulanya sebagai nombor enam (pemain tengah bertahan) dan seterusnya ‘centre back’ pada usia 21 tahun, agak lambat.

“Pengajarannya di sini, jika awak seorang penyerang sekarang, tak bermakna awak akan kekal sebagai penyerang 10 tahun lagi. [Dan] dengar cakap jurulatih kerana mereka tahu apa yang bagus untuk awak,” pesannya.

Setelah bertukar posisi walaupun Tim Heubach dahulunya penyerang, dia menyifatkan yang pertukaran posisi ini telah membantu kerjayanya. Namun begitu, bekas pemain 2. Bundesliga ini sempat bersungut secara berseloroh mengenai beratnya tanggungjawab sebagai pemain pertahanan.

“Sebagai pemain pertahanan awak boleh bermain dengan baik selama 90 minit, tapi membuat satu kesilapan di saat-saat akhir dan dikira telah bermain dengan buruk.

“Namun sebagai penyerang anda boleh memberikan persembahan yang longlai selama 90 minit, tetapi jika anda dapat menjaringkan gol, anda akan diangkat sebagai hero.

“Kerja sebagai pemain pertahanan memang sukar tapi saya tak mahu bersungut, saya sukakan kerja saya!”

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.