Tim Heubach dan Selangor

Jodoh Tim Heubach dan Selangor tamat awal

Walaupun pengumuman kemasukan penyerang Brazil, Caion pada Isnin, 27 Disember lalu menyaksikan slot pemain import pasukan utama Gergasi Merah bagi musim 2022 telah penuh, satu perkembangan terbaru menyaksikan masih ada satu tempat untuk diisi. Pada Rabu, 29 Disember, pertahanan tengah Tim Heubach dan Selangor FC diumumkan menamatkan kontrak secara persetujuan bersama.

Kredit foto Selangor FC

Bekas pemain Borussia Mönchengladbach dan FC Kaiserslautern ini merupakan salah seorang dari tiga pemain Eropah yang didatangkan kelab pada awal musim ini.

Namun trio ini, iaitu Tim, Oliver Buff dan Manuel Konrad gagal membantu pasukan beraksi baik, walaupun mereka tidak boleh dipersalahkan 100 peratus. Akhirnya Oliver dan Manuel telah diumumkan tidak akan bersama Selangor musim depan, dan pengumuman terbaru ini menyaksikan Tim menyusuli mereka.

“Selangor ingin mengumumkan secara rasmi pemergian Tim Heubach secara persetujuan bersama. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Tim pada masa hadapan dan berterima kasih atas segala jasa beliau.”

Ini pula komen pemain ini sendiri mengenai keputusan ini.

“Terima kasih Malaysia dan Selangor kerana pengalaman setahun ini. Saya tidak dapat membantu kerana kecederaan serius.

“Saya harap anda dapat mencapai sasaran anda tahun depan. Selamat berjaya, jaga diri dan jaga keselamatan!” tulis pemain berusia 33 tahun ini di laman Instagramnya.

Nasib Tim tidak baik di Selangor. Selepas beraksi dalam hanya tujuh perlawanan, dia tercedera lama. Lebih memburukkan keadaan, semasa dalam proses pemulihan dia membuat kenyataan kepada sebuah media negara asalnya, yang menyatakan punca kecederaannya adalah keadaan padang latihan. (Selangor kemudiannya meminta Merah Kuning 24/7 menurunkan artikel kami mengenai temubual ini)

Perpisahan awal Tim Heubach dan Selangor meninggalkan satu lagi slot pemain asing untuk diisi, iaitu slot pemain import umum. Hanya pemain Singapura Safuwan Baharudin yang kekal dari musim lalu, manakala baru-baru ini telah diumumkan kemasukan Caion dan pasangan pasukan kebangsaan Jordan, pertahanan tengah Yazan Al-Arab dan pemain tengah Baha’ Abdelrahman.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.