tolong kami bantu kami

Tolong kami, bantu kami; belikan kami ‘burger stadium’

Sedar tak sedar sudah masuk tiga bulan kemunculan Merah Kuning 24/7, membawakan berita-berita terbaru mengenai kelab kesayangan kita dan kelab terbaik Malaysia, Selangor FC. Walaupun semua berita-berita, pendapat dan analisis kami terbitkan secara percuma setakat ini, kami kini ada satu seruan kepada pembaca-pembaca dan juga penyokong Gergasi Merah di luar sana: “Tolong kami bantu kami”

Disebabkan kemuncupan bidang kewartawanan secara umumnya di negara ini, semakin sukar untuk organisasi-organisasi berita dan media untuk memberikan perhatian secara khusus terhadap pasukan-pasukan liga Malaysia, termasuklah Selangor. Jadi ada kalanya perkembangan-perkembangan terbaru pasukan kesayangan kita ini tidak diketahui oleh penyokong, biar pun kita kini berada di era maklumat di hujung jari.

Atas sebab ini, kami di Merah Kuning 24/7 yang juga penyokong Selangor dan juga bekas anggota media sukan profesional memberanikan diri menubuhkan laman ini, dengan tanggungjawab mahu memberikan liputan khusus terhadap King of Malaya. Konsepnya adalah laman berita bebas ‘fan-run’, sesuatu yang dimiliki kesemua kelab-kelab yang gah dan terkemuka dunia.

Dengan kandungan sebagai tumpuan utama, laman ini dimulakan secara kos rendah sebagai aktiviti sampingan. Setakat ini, kos kewangan yang diperlukan hanyalah bagi ‘web-hosting’, harga nama domain dan bil-bil. Rekaan logo dan susun atur laman pun dilakukan sendiri oleh kami, yang sejujurnya langsung tidak ada pengalaman membangunkan laman sesawang. Malah kami juga tidak memasang niat untuk membuat keuntungan melalui laman ini, kerana ia boleh membawa kepada modus operandi bersifat mengejar klik, memecahbelah dan mensensasikan berita.

Namun kami tidak nafikan yang bantuan kewangan dari pembaca adalah sesuatu yang kami sangat alu-alukan untuk membantu operasi laman ini. Dengan niat ini, kami telah membuka satu saluran untuk anda memberikan sumbangan wang, melalui laman ‘Buy Me A Coffee’ kami di sini. Bagi yang belum kenal, laman ini membolehkan peminat-peminat untuk memberikan bantuan kewangan dan juga lebih mendekati penerbit-penerbit kandungan dalam talian kegemaran mereka. Di laman ‘Buy Me A Coffee’ kami, kami olah semula konsep kopi kepada burger stadium, makanan ‘legend’ yang memang dikenali penyokong yang hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Gergasi Merah.

Buat masa ini, sumbangan hanya boleh dilakukan di sini bagi mereka yang memiliki kad kredit/debit atau akaun Paypal, dan hanya dalam matawang USD dari serendah USD1 (lebih kurang RM4). Jangan gusar, kami tidak menyimpan maklumat peribadi anda.

Jika anda tidak dapat menyumbang melalui laman ‘Buy Me A Coffee’, jangan kecewa. Kami sedang mengkaji banyak lagi saluran-saluran untuk menerima sumbangan dari anda, dan ia pasti akan kami umumkan nanti.

Buat pembaca yang tidak dapat menyumbang buat masa ini, ini bukan masalah besar. Anda boleh bantu kami dengan mengongsikan artikel ini di laman-laman sosial peribadi Facebook dan Twitter anda, di ‘group’ Facebook, Telegram dan Whatsapp penyokong Selangor yang anda sertai, dan juga ‘fanpages’ Selangor yang anda uruskan.

Walaupun pada masa ini tujuan kutipan sumbangan ini hanyalah untuk mendapatkan semula modal, tidak dinafikan yang cita-cita kami di masa depan adalah untuk mendapatkan sumbangan yang cukup secara konsisten. Ini adalah dengan niat supaya projek ini dapat dijalankan secara sepenuh masa dan kandungan-kandungan kami pula dapat diterbitkan dengan lebih kerap, sesuatu yang tidak dapat kami lakukan tatkala kami masih perlu menumpukan perhatian terhadap ‘dayjob’ kami.

Namun itu masih jauh di depan sementara kami baru sahaja berusia tiga bulan. Buat masa ini, teruskan mengunjungi dan menyokong laman Merah Kuning 24/7, dan tolong kami bantu kami dari segi kewangan secara termampu. Kami bangga dapat membawakan anda perkembangan terbaru Selangor FC.

Ingin juga kami ambil kesempatan di sini untuk bertanyakan kepada anda jika ada sebarang komen mengenai susunatur laman ini, kandungan yang dikeluarkan dan laman Facebook kami. Tinggalkan ulasan-ulasan anda di ruangan komen artikel ini dan juga ruangan komen laman Facebook kami. Ini kami dahulukan dengan ucapan terima kasih.

Follow laman Facebook kami supaya anda tidak terlepas perkembangan terbaru Selangor FC

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.