tujuh lagi pemain Selangor

Tujuh lagi pemain disahkan meninggalkan Selangor

Sedang Kejuaraan AFF 2020 rancak berjalan, persiapan bagi skuad musim 2022 terus dilakukan dan diumumkan. Terbaru, pada Rabu, 8 Disember, tujuh lagi pemain Selangor FC disahkan akan meninggalkan pasukan.

Kredit foto Selangor FC

Mereka adalah penjaga gol Tauffiq Ar Rasyid Johar, pertahanan Namathevan Arunasalam dan Shivan Pillay Asokan, pemain-pemain tengah import Oliver Buff dan Manuel Konrad, dan penyerang-penyerang Sean Selvaraj dan Wan Zack Haikal.

Tauffiq dan Shivan merupakan antara dua orang pemain yang dikekalkan apabila Gergasi Merah menyerap PKNS FC menjelang musim 2020. Tauffiq hanya mendapat dua penampilan dengan pasukan utama sepanjang dua musim bersama Selangor, manakala Shivan yang dinaikkan pangkat ke pasukan utama bagi musim 2021 telah membuat lapan penampilan.

Namathevan merupakan pemain paling ‘senior’ dari senarai tujuh pemain ini. Walaupun dia yang berusia 25 tahun lebih kerap diturunkan sebagai pemain gantian, sejak tahun 2016 dia telah mengumpulkan 75 penampilan untuk pasukan utama Selangor.

Sean pula telah mengutip 69 penampilan dan 10 gol sejak 2018, dan dia telah diumumkan akan kembali ke pangkuan pasukan negeri asal beliau, Negeri Sembilan FC yang telah layak kembali ke Liga Super Malaysia buat musim depan.

Penyertaan Wan Zack di Selangor boleh dikatakan kisah sedih. Sebaik menyertai Gergasi Merah bagi musim 2019, dia ditimpa kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) dan terlepas aksi selama semusim. Dan biarpun dapat kembali bermain selepas pulih, bekas pemain Malaysia ini masih dibelenggu masalah kecergasan dan jarang membawa impak. Wan Zack melakukan 20 penampilan dan satu gol secara keseluruhan.

Oliver dan Manuel merupakan dua orang pemain asing yang dibawa masuk awal musim ini, namun gagal memberikan persembahan sebaik yang diharap sebagai pemain dari Eropah. Oliver, bekas pemenang Piala Dunia peringkat bawah umur, masih dilihat memainkan peranan penting dalam pasukan apabila tidak tercedera dan dapat bermain, tetapi Manuel kerap dikritik hebat lantaran gagal memimpin barisan pertahanan dengan baik. Namun seorang lagi pemain Eropah yang hadir pada awal musim 2021, ‘centre back’ Tim Heubach tidak ada dalam senarai tujuh lagi pemain Selangor yang akan angkat kaki.

Sebelum ini, kelab telah mengumumkan berlalunya dua orang pemain berstatus bintang; Ifedayo Olusegun dan Syahmi Safari.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.