Ujian Sikh Izhan diperjelas

Ujian Sikh Izhan diperjelas CF Fuenlabrada

Sebuah video yang diterbitkan oleh penganjur liga Sepanyol, LaLiga memaparkan pengalaman penjaga gol muda Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel yang menjalani ujian di kelab divisyen dua CF Fuenlabrada pada penghujung tahun lalu. Ujian Sikh Izhan diperjelas pengarah antarabangsa kelab itu, Josele Gonzalez yang menyatakan bahawa ianya merupakan langkah baik bagi memasarkan kelabnya di Asia.

Kredit foto Selangor FC

Izhan yang merupakan produk Akademi Mokhtar Dahari dalam video itu menyifatkan pengalaman menyertai latihan selama seminggu di Sepanyol itu sebagai peluang menimba pengalaman, dan juga belajar di negara bolasepak yang lebih maju.

Namun di penghujung video ini, Josele memberi penjelasan mengenai tujuan kelabnya membawa Izhan ke Sepanyol, dan mereka bukan sekadar ingin mendapatkan pemain.

“Adalah penting bagi kami untuk berinteraksi dengan budaya-budaya lain, dan bagi pemain-pemain yang hadir untuk mempelajari metodologi, falsafah dan cara permainan kami. Kami ada pemain-pemain dari lima benua di seluruh dunia.

“Bagi pelatih-pelatih akademi kami, interaksi sebegini adalah pertukaran budaya yang baik. Kami telah bekerjasama dengan China, Jepun, Arab Saudi dan banyak negara lagi. Malaysia pula adalah pasaran strategik dan telah memberikan kami seorang pemain yang kami telah nampak dalam perlawanan-perlawanan dan juga rakaman video. Baik buat kami untuk dapat mengintegrasi beliau dengan pasukan ‘B’ kami secara hari-ke-hari.

“Ini adalah projek yang kami tumpukan untuk mengantarabangsakan dan mengembangkan jenama CF Fuenlabrada ke seluruh dunia. Malaysia merupakan pasaran strategik dan sedang berkembang pesat dalam bidang sukan dan bolasepak. Kami merasakan yang ia adalah langkah seterusnya dalam membawakan kelab ini ke peminat-peminat di Asia, terutamanya di Malaysia.”

Ternyata yang tawaran ujian yang diberikan itu juga adalah langkah pemasaran buat kelab yang berpangkalan di bandar Fuenlabrada ini.

Diharapkan bahawa ujian yang dilalui bekas penjaga gol pasukan muda negara ini adalah ujian yang tulen dan bukan taktik promosi semata-mata. Pastinya kita tidak mahu semangat tinggi penjaga gol muda ini diambil kesempatan, apatah lagi dia pernah memberitahu penulis bahawa semasa berusia 10 tahun, dia sanggup berulang-alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur setiap minggu hanya untuk menjalani latihan.

Tambahan pula, perjalannya ke Sepanyol tempoh hari dilaporkan telah dibiayai bekas Menteri Belia dan Sukan dan orang kuat Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Khairy Jamaluddin.

Setakat ini, masih belum kedengaran jika kelab itu mahu menandatangani penjaga gol berusia 19 tahun ini, namun di sebalik ujian Sikh Izhan diperjelas CF Fuenlabrada, masa depan Izhan masih terjamin bersama Gergasi Merah. Setelah mendapat penampilan pertama dengan pasukan utama tahun lalu, dia kini diserap masuk secara rasmi bagi musim 2022.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.