Ultrasel muncul Piala Malaysia

Ultrasel bakal muncul semula untuk Piala Malaysia, ada cadangan buat MFL

Kelompok penyokong Ultrasel diketahui kerana bentuk sokongan secara ‘active support’ dan vokal yang diberikan mereka buat pasukan Selangor FC, sejak ditubuhkan pada 2010. Pada tahun ini, dalam tahun kesebelas penubuhannya, mereka akan membuat perubahan dalam pergerakan mereka; Ultrasel muncul Piala Malaysia tahun ini.

Kredit foto utama Selangor FC

Sejak ditubuhkan pada tahun 2010, boleh kata di mana saja Gergasi Merah beraksi, Ultrasel akan turut ikut sama. Tetapi ramai yang menyedari, bahawa kelibat mereka di belakang salah satu tiang gol atau di tempat penyokong tidak kelihatan dalam saingan Piala Malaysia sejak beberapa tahun.

Namun sehari selepas penganjur pertandingan-pertandingan dalam negara, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan bahawa penyokong akan dibenarkan kembali ke stadium bermula minggu ketiga peringkat kumpulan Piala Malaysia, Merah Kuning 24/7 diberitahu oleh Ultrasel yang mereka akan kembali muncul menyokong Selangor dalam saingan Piala Malaysia.

Terlebih dahulu, melalui jurucakap mereka, Emon, mereka menjelaskan bahawa ketiadaan mereka dalam saingan Piala Malaysia dalam tahun-tahun kebelakangan ini bukannya satu bentuk boikot.

Sebaliknya ia adalah satu bentuk peringatan kepada pengurusan kelab supaya meletakkan sasaran yang lebih tinggi.

“Piala Malaysia itu sendiri tak salah. Punca kami tak muncul dalam pertandingan ini adalah dalam tahun 2015, 2016, bila ia dijalankan serentak dengan hujung saingan liga, pengurusan kelab pada masa itu mengutamakan saingan piala berbanding dengan liga. Pemain-pemain simpanan diturunkan dalam perlawanan liga sementara pemain utama direhatkan untuk saingan piala.

“Sebagai sebuah kelab bolasepak yang sudah lama ditubuhkan, kita harus ada visi dan misi untuk bersaing dalam peringkat paling tinggi, dan dalam konteks saingan kelab ia adalah Piala AFC atau Liga Juara-Juara AFC. (Pada masa itu kelayakan ke saingan Asia bagi kelab-kelab Malaysia hanya melalui Liga Super atau Piala FA)

“Ini juga berpunca dari persepsi penyokong Malaysia secara umum; kalau tak menang piala, [maknanya pasukan] gagal. Tapi kalau berjaya menang piala, penyokong akan tutup sebelah mata dengan masalah-masalah pengurusan seperti kegagalan bayar gaji. Itu yang kami cuba ubah, persepsi dan harapan penyokong tempatan. Bukan piala yang patut jadi sasaran; tapi perkara-perkara asas seperti gaji dan fasiliti,” jelas Emon dalam satu panggilan telefon pada Jumaat, 1 Oktober.

Namun bagi edisi Piala Malaysia tahun ini, yang secara kebetulan merupakan edisi tahun keseratus, juaranya akan diberikan slot automatik ke peringkat kumpulan Piala AFC 2022. Dan MFL pula baru-baru ini mengumumkan keputusan bahawa penyokong bakal dibenarkan kembali ke stadium, setelah kelonggaran diberikan oleh kerajaan Malaysia.

Persoalan yang paling penting; adakah Ultrasel akan menghentikan ‘boikot’ mereka, setidak-tidaknya buat Piala Malaysia tahun ini?

“Untuk Piala Malaysia kali ini, setelah MFL memberi kebenaran untuk penyokong kembali ke stadium, ya, sudah pasti Ultrasel akan turun dan beri sokongan kepada pasukan untuk mendapatkan slot Asia.”

Ultrasel juga ada mengeluarkan ‘merchandise’ baru.

Dan mereka juga ada cadangan buat MFL bagi tahun-tahun seterusnya, bilamana slot Asia bagi kelab-kelab Malaysia kini telah bertambah kepada tiga (1 Liga Juara dan 2 Piala AFC) berbanding hanya dua dalam tahun-tahun sebelumya.

“Kami faham yang Piala Malaysia mempunyai prestij sebagai salah satu kejohanan tertua Asia, dan Selangor juga ada sejarah hebat sebagai juara 33 kali. Kami pernah berbincang dengan pengurusan kelab supaya pertandingan ini diangkat martabatnya dengan cara memberikan pemenangnya satu slot Asia, tapi ini tidak dapat dilakukan kerana hanya piala berformat kalah mati yang diterima oleh AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), sementara Piala Malaysia ada peringkat kumpulan.

“Namun disebabkan wabak Covid-19 dan pembatalan Piala FA, MFL berjaya meyakinkan mereka supaya juara Piala Malaysia 2021 diberikan satu slot Piala AFC.

“Wakil-wakil penyokong ada dijemput berjumpa dengan MFL baru-baru ini tapi ia ditangguhkan. Jika perjumpaan ini dapat dilangsungkan, kami ingin bertanyakan bagaimana MFL dapat meyakinkan AFC [untuk memberi slot Asia kepada pemenang Piala Malaysia] dalam tempoh pandemik, dan ingin usulkan supaya Piala Malaysia kekal mendapat satu slot demi menjaga prestij salah satu piala tertua di Asia ini,” jawabnya.

Kumpulan penyokong ini juga mengingatkan ahli-ahli mereka dan penyokong-penyokong Selangor secara umumnya untuk melengkapkan dua dos vaksin Covid-19, supaya mereka dapat hadir beramai-ramai ke stadium dan memberi sokongan kepada kelab dalam baki saingan Piala Malaysia nanti.

Follow laman Facebook kami

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.