Undian Piala Malaysia 2021 saksikan Selangor hadapi Terengganu, Perak

Undian Piala Malaysia saksikan Selangor hadapi Terengganu, Perak

Undian Piala Malaysia 2021 telah dijalankan pada petang Rabu, 15 September dengan Selangor FC diletakkan dalam Kumpulan B, bersama-sama Terengganu FC, Perak FC dan pasukan ketiga Liga Premier.

Kredit foto utama Selangor FC

Pasukan ketiga Liga Premier ini bagaimanapun masih belum diketahui, kerana kejohanan divisyen dua ini masih berbaki satu pusingan. Ia juga tidak akan disertai pasukan-pasukan simpanan kelab Liga Super, kerana mereka tidak dibenarkan menyertai Piala Malaysia dan Piala FA. Dilihat dari kedudukan Liga Premier sekarang, tiga pasukan berkemungkinan menamatkan saingan liga di kedudukan ketiga terbaik bagi bukan pasukan simpanan; PDRM FC, Kuching City atau Kelantan FC.

Di atas kertas, sudah pasti anak-anak buah Karsten Neitzel dilihat berpeluang cerah untuk mara ke pusingan suku akhir, setidak-tidaknya dari tempat kedua. Skuad Penyu menumpaskan Selangor kedua-dua kali pertemuan liga mereka tahun ini, tetapi Bos Gaurus yang telah tersingkir dari Liga Super tahun ini telah ditumpaskan Selangor juga sebanyak dua kali. Namun prestasi yo-yo Gergasi Merah musim ini menjadikan kerja-kerja meramal keputusan perlawanan mereka sesuatu yang sukar.

Dalam peringkat suku akhir, juara kumpulan B akan bertemu naib juara kumpulan A manakala naib juara kumpulan B akan berhadapan dengan tempat pertama kumpulan A, secara timbal balik. Dua pemenang perlawanan-perlawanan ini seterusnya akan berentap dengan dua pemenang-pemenang peringkat suku akhir dari Kumpulan C dan D dalam peringkat separuh akhir, juga secara timbal balik. Dua pemenang-pemenang peringkat separuh akhir kemudiannya akan berentap dalam perlawanan akhir yang akan dilangsungkan sekali sahaja di venue berkecuali.

Jadual perlawanan belum lagi dikeluarkan pihak penganjur, Malaysian Football League (MFL) tetapi peringkat kumpulan dijadualkan akan bermula pada 25 September dan tamat pada 10 November. Suku akhir akan dilangsungkan pada 14 dan 18 November, separuh akhir 22 dan 26 November dan perlawanan akhir pada 30 November.

Tahun ini merupakan tahun keseratus kejohanan yang merupakan salah sebuah kejohanan bolasepak tertua di Asia ini, dengan disertai 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan teratas (bukan pasukan simpanan) Liga Perdana.

Sementara itu, Karsten memberikan komen ringkas mengenai kempen pasukannya, setelah undian Piala Malaysia 2021 selesai dijalankan.

“Kita tidak memandang rendah mana-mana pasukan lain dan kita memerlukan persiapan serius menjelang Piala Malaysia. Kita mahukan kempen Piala Malaysia yang bagus dan langkah pertama adalah untuk layak ke peringkat suku akhir,” ujarnya seperti yang dipetik dari laman sesawang kelab.

Baca juga: Karsten nyatakan sasaran Piala Malaysia Selangor

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.