Wan Zack pulih

Video: Wan Zack beri isyarat kesediaan menerusi gol cantik

Pemain serangan ini boleh dikatakan tidak bernasib baik sejak menyertai Selangor FC, namun jika Wan Zack pulih secara mutlak, sudah pasti dia boleh membuat serangan Gergasi Merah lebih berbahaya.

Kredit foto utama Selangor FC

Dalam satu video yang dimuatnaik di akaun Instagram-nya, pemain berusia 30 tahun ini dilihat menjaringkan satu gol cantik dalam sebuah perlawanan latihan menentang kelab Liga FAS, PIB FC. Dia menggagalkan perangkap ofsaid yang dilakukan barisan pertahanan sambil menerima ‘through pass’ yang dilakukan seorang rakan sepasukan (kualiti video tidak berapa baik), sebelum melambungkan bola di atas penjaga gol yang keluar, dan ke dalam pintu gol.

Perlawanan yang dilangsungkan di Pusat Latihan FAS, Shah Alam pada Sabtu lepas berakhir dengan kemenangan 5-1 untuk Gergasi Merah.

Video yang dimuatnaik ini turut disertakan kapsyen #allahjaga, #kitatawakal, #redho dan #maafkan yang sudah pasti menimbulkan tanda tanya jika Wan Zack ada terguris hati dengan cakap-cakap dari media dan penyokong mengenai peranannya di Selangor sejak menyertai pasukan itu pada penghujung musim 2018.

Belum sempat Wan Zack melakukan penampilan rasmi dengan Selangor, dia yang menyertai pasukan bersama-sama ketua jurulatih ketika itu B. Satiananthan mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) dalam satu perlawanan persahabatan pra-musim, dan terpaksa menjalani rawatan. Setahun setengah kemudian baru dia mendapat penampilan rasmi pertama dengan skuad Merah Kuning, dan dalam saingan liga tahun 2020 (yang hanya berjalan sebanyak 11 perlawanan), dia membuat enam penampilan.

Namun begitu, masalah kecergasan sentiasa menghantui pemain yang pernah berkelana di Jepun ini (pengalaman beliau di negara Asia Timur ini turut berakhir awal akibat kecederaan ACL), dan dalam saingan Liga Super 2021 yang baru berakhir awal bulan ini, dia hanya mendapat lapan penampilan, empat daripadanya dari bangku simpanan.

Bagaimanapun perlu diingat, sebarang kritikan yang diterima pemain ini akibat kecederaannya pasti tidak adil, apatah lagi musim ini sahaja pemain-pemain Selangor dilihat begitu senang ditimpa kecederaan, sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang.

Apa yang pasti, sudah tentu semua pihak yang terlibat dengan Gergasi Merah mahukan Wan Zack pulih sepenuhnya dan kembali ke puncak prestasi bagi membantu Selangor dalam aksi Piala Malaysia yang akan bermula hujung minggu ini. Mungkin dia boleh menghasilkan lebih banyak lagi gol-gol cantik seperti dalam videonya itu.

Baca juga: Jurulatih Terengganu sifatkan Selangor “paling kuat”

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.