Zikri dan Fahmi bertukar

Zikri dan Fahmi bertukar tempat dalam skuad Malaysia B-23

Biarpun Kejuaraan B-23 AFF 2022 telah bermula, penggantian saat akhir telah dilakukan dalam skuad Harimau Muda, melibatkan dua bintang muda Selangor FC, Zikri Khalili dan Fahmi Daniel Zaaim. Atas sebab kecederaan, Zikri dan Fahmi bertukar tempat dalam skuad pimpinan Brad Maloney di Kemboja.

Kredit foto Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Menurut pengumuman FAM, pemain pasukan utama Gergasi Merah, Zikri yang berusia 19 tahun tiba di kem latihan Malaysia B-23 dengan kecederaan lutut, namun dia masih memberi masa buat pemain pertahanan kiri itu untuk pulih.

Namun ini tidak berlaku, memaksa dia digantikan dalam senarai akhir pemain yang dihantar kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFF) pada 13 Februari.

“Zikri telah mengalami kecederaan berkenaan selepas menjalani beberapa siri perlawanan persahabatan bersama Selangor FC.

“Saya mahu memberikan beliau sebanyak mungkin peluang untuk pulih dan memulakan latihan bersama pasukan semula namun begitu kecederaannya itu tidak dapat pulih dalam jangka masa pendek.

“Justeru itu, kami telah menyenaraikan semula Fahmi yang masih menjalani kuarantin di hotel isolasi bagi menggantikan kekosongan pemain di dalam pasukan” jelas Brad.

Brad menggantikan tempat Zikri dalam skuadnya dengan Fahmi, pemain sayap Selangor 2 yang berusia 20 tahun. Dia kini sedang menjalani kuarantin selama lima hari sebelum boleh menyertai pasukan di Phnom Penh.

Pada mulanya Fahmi terpilih menyertai kem latihan apabila Brad tidak menyenaraikan pemain-pemain utama skuad B-23. Namun pengurusan ‘caca marba’ FAM menyaksikan pemain-pemain utama ini, Zikri, Sikh Izhan Nazrel, Azrin Afiq Rusmini dan Harith Haiqal disenaraikan pada akhirnya sedang pemain-pemain pasukan lain dipulangkan tanpa penjelasan. Ini mengakibatkan pemain-pemain berstatus pemain ‘backup’ dalam skuad Harimau Muda seperti Fahmi kembali disisihkan.

Namun perkembangan terbaru Zikri dan Fahmi bertukar tempat ini menyaksikan khidmat Fahmi sekali lagi diperlukan, dan tiada siapa boleh menyalahkannya jika tindakan bak ‘tarik tali’ FAM ini membuatkan dia terasa seperti dipergunakan.

Sementara itu di Kemboja, Malaysia kini hanya tinggal satu perlawanan untuk dimainkan dalam Kumpulan B setelah Indonesia dan Myanmar menarik diri di saat-saat akhir akibat jangkitan Covid-19. Mereka perlu menang menentang Laos pada Jumaat, 18 Februari untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.