'orang kuat' Malaysia B 23

Ciri kepimpinan, serba boleh Zikri bersama Malaysia B-23 diperlukan Selangor

Menerusi pengumuman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam, lapan orang pemain muda Selangor FC mendapat tempat dalam senarai akhir skuad Malaysia B-23 yang bakal bersaing dalam saingan kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia minggu depan. Walaupun dari lapan ini Mukhairi Ajmal dan Harith Haiqal merupakan dua nama yang paling disebut-sebut sepanjang minggu, namun seorang pemain yang telah senyap buat seketika kembali mencuri tumpuan. Dan jika dia kekal menunjukkan prestasi baik di Mongolia, tidak mustahil dapat Zikri Khalili rebut tempat semula dalam pasukan utama Gergasi Merah.

Kredit foto Selangor FC

Bagi yang mungkin sudah terlupa, pemain pertahanan kiri ini merupakan salah seorang pemain pasukan Selangor 2 yang mula-mula mendapat peluang bermain dengan pasukan utama musim lalu. Anak Pahang ini mendapat satu penampilan dalam Liga Super dan satu dalam Piala Malaysia. Tahun ini dia merupakan salah seorang dari lima pemain yang dinaikkan pangkat ke pasukan utama secara kekal dan melakukan enam penampilan di awal musim, malah dipilih penulis dalam senarai 25 bakat muda terbaik ASEAN bagi Goal, disebabkan gaya permainannya yang matang dan yakin.

Malangnya, atas sebab yang hanya diketahui barisan teknikal kelab, pemain berusia 19 tahun ini tersisih selepas itu, dengan pemain import baru dari pasukan simpanan Jordan Ayimbila kerap mengambil tempatnya. Kali terakhir Zikri bermain adalah sebagai pemain gantian hujung perlawanan dalam kemenangan 4-1 ke atas Penang FC pada Julai. Malah sepanjang musim, dia telah berada di bangku simpanan tanpa masuk bermain dalam 13 perlawanan.

Tidak ada pemain muda yang mahu sekadar menjadi pemerhati tatkala rakan-rakan lain sedang asyik mengumpul minit permainan di peringkat senior. Jadi berita yang muncul dari kem berpusat dan perlawanan-perlawanan persahabatan Malaysia B-23 berkenaan prestasi baik yang ditunjukkan Zikri pasti menggembirakan penyokong-penyokong Merah Kuning.

Wartawan, Ooi Kin Fai melaporkan yang ketua jurulatih Harimau Muda Brad Maloney menurunkan Zikri sebagai ‘centre back’ dan kapten pasukan dalam aksi persahabatan menentang juara Liga Premier Negeri Sembilan pada Selasa minggu lalu, dan menyifatkan pertukaran posisi ini sebagai keputusan bijak kerana Zikri menunjukkan permainan berkelas tinggi.

Tiga hari kemudiannya dia direhatkan semasa menentang Penang dan hanya dimasukkan di penghujung perlawanan, tetapi pada Isnin, 18 Oktober dia kembali ke kesebelasan utama sebagai kapten, dan semakin mengaum. Zikri bukan sahaja membantu pasukannya mencatatkan ‘clean sheet’, malah turut menjaringkan satu gol dalam kemenangan 2-0 ke atas kelab yang bukan calang-calang ini.

Peranan besarnya dalam kempen kelayakan nanti sudah pasti dapat diketahui Brad, yang memuji kepimpinan Zikri:

“Saya gembira melihat prestasi yang ditunjukkan oleh Zikri kerana beliau telah menjalankan tugasnya dengan sempurna dalam berkomunikasi dengan rakan-rakan sepasukan sepanjang perlawanan dan menunjukkan kualiti kepemimpinan baik dalam padang.

“Malah, kelebihannya beraksi di pelbagai posisi seperti di bek kiri, pemain tengah dan sayap menjadi aset penting untuk pasukan dan negara di masa akan datang. Buat masa ini saya memberi kepercayaan kepadanya di pertahanan tengah pasukan,” ujar pelatih dari Australia ini seperti yang dipetik dari laman sesawang kelab.

Sedang Gergasi Merah menghadapi isu-isu tertentu di barisan pertahanan seperti prestasi tidak menentu dan kecederaan berpanjangan, pasti persembahan baik yang ditunjukkan pemain muda ini, serta sifat serba boleh dan kepimpinannya memberikan mereka harapan dalam baki saingan kempen Piala Malaysia nanti. Kita mahu lihat Zikri Khalili rebut tempat dalam skuad utama semula, dan membantu pasukan menunjukkan peningkatan.

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC dan bolasepak negeri Selangor

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.